- Iklan -
Berita

Keadaan meruncing, PH cadang saringan Covid-19 besar besaran

Jawatankuasa vaksinasi PH berkata ia bagi membolehkan individu dijangkiti Covid-19 didiagnosis, diasingkan dan dirawat lebih awal.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Keadaan di Stadium Melawati Shah Alam. Orang ramai sedang menunggu giliran pemeriksaan Covid-19. Gambar: Bernama
Keadaan di Stadium Melawati Shah Alam. Orang ramai sedang menunggu giliran pemeriksaan Covid-19. Gambar: Bernama

Susulan keadaan meruncing dalam situasi semasa Covid-19 negara, Jawatankuasa Vaksinasi Covid-19 Pakatan Harapan (PH) meminta kerajaan menjalankan inisiatif ujian saringan besar-besaran di daerah berisiko tinggi menggunakan RTK Antigen.

Ini bagi membolehkan individu yang dijangkiti Covid-19 didiagnosis, diasingkan dan dirawat lebih awal untuk mencegah lonjakan kematian Covid-19 dan kapasiti katil unit rawatan rapi (ICU) yang penuh.

“Semakin lambat kita melakukan ujian saringan dan mengeluarkan status positif, semakin tinggi kemungkinan mereka yang dibawa masuk menghadapi simptom dan komplikasi yang lebih teruk sehingga meningkatkan risiko kematian,” kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut jawatankuasa berkenaan, menerusi peningkatan kadar saringan dan pengesahan kontak rapat secara ketara, angka sebenar mereka yang dijangkiti dapat diketahui, membolehkan langkah tertentu diambil untuk mengasingkan mereka.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Dzulkefly Ahmad (Amanah-Kuala Selangor) dan dianggotai Lee Boon Chye (PKR-Gopeng), Kelvin Yii (DAP-Bandar Kuching), Hatta Ramli (Amanah-Lumut), Sim Tze Tzin (DAP-Bayan Baru), Ong Kian Ming (DAP-Bangi), Siti Mariah Mahmud (exco kesihatan Selangor), Norlela Ariffin (exco kesihatan Pulau Pinang) dan S. Veerapan (exco kesihatan Negeri Sembilan).