- Iklan -
Berita

Katil ICU penuh, pengarah jabatan kesihatan rayu warga Sarawak duduk rumah

Wad ICU hospital di seluruh Sarawak kini dipenuhi pesakit Covid-19.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Petugas teknikal kesihatan dari jabatan kesihatan di Kuching, Sarawak mengambil sampel ujian swab untuk diperiksa. Gambar: Bernama
Petugas teknikal kesihatan dari jabatan kesihatan di Kuching, Sarawak mengambil sampel ujian swab untuk diperiksa. Gambar: Bernama

Pihak berkuasa kesihatan Sarawak hari ini berkata wad ICU di negeri itu sudah padat dipenuhi pesakit di samping turut menggesa warga Sarawak untuk berikan kerjasama dalam usaha membendung wabak dengan kekal duduk di rumah ketika jangkitan terus merekodkan peningkatan kes Covid-19.

“Katil-katil di ICU tidak cukup atau dengan kata lain sudah dipenuhi pesakit di seluruh Sarawak,” kata pengarah jabatan kesihatan negeri itu, Dr Chin Zin Hing dalam sebuah kenyataan hari ini.

“Para doktor sedang bertungkus-lumus setiap hari terpaksa memantau penggiliran dalam penggunaan alat bantuan kesihatan atau katil supaya pesakit yang datang kemudian boleh menggunakannya. Alat bantuan pernafasan juga tidak cukup ketika ketika ini.

“Kita dalam krisis, jadi saya merayu bersungguh-sungguh supaya anda semua dapat memainkan peranan. Tolong duduk di rumah!”

Chin turut berkata sekiranya jangkitan Covid-19 tidak dibendung, 10% hingga 20% kes terpaksa dibawa ke hospital dan 5% hingga 10% lagi perlu diletakkan di bawah pengawasan ICU.

Katanya lagi, setakat ini, empat hospital utama di Sarawak hanya menempatkan 53 katil di ICU.

“Ketika ini, di semua hospital utama di Sarawak sudah menempatkan 92 katil di wad ICU. Semua penuh!” katanya sambil menambah setiap katil akan digunakan sekurang-kurangnya dalam tempoh masa 10 hari.

Menurut Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak penempatan pesakit Covid-19 di wad ICU hospital-hospital negeri itu sudah mencecah 77% dengan 70 pesakit di 92 katil.

“Hospital Sibu sedang merawat 35 pesakit Covid-19 di ICU dan Hospital Sarawak pula sedang merawat 11 pesakit di ICU.

“Di Hospital Bintulu terdapat enam pesakit Covid-19 di ICU, lima di Hospital Miri, sembilan di Hospital Kapit dan empat di Hospital Sarikei,” kata JPBN dalam kenyataan hariannya.

Sarawak turut merekodkan tiga lagi kluster hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kluster aktif di Sarawak sebanyak 83.

Ia turut mencatat 433 kes harian ini, 61.89% daripadanya dikesan di beberapa daerah di Miri, Kapit, Sibu, Kuching dan Belaga.

Setakat ini, Sarawak telah mencatat 38,816 kes sejak pandemik Covid-19 diumumkan di Malaysia.