- Iklan -
Berita

Bagaimana Covid-19 mengubah perjalanan akhir manusia

Daripada ukuran liang lahad semakin dalam, kehadiran kecil dan pengalaman menghantar jenazah ke alam abadi berubah akibat pandemik yang melanda dunia.

Nur Shazreena Ali
3 minit bacaan
Kongsi
Pandemik Covid-19 mengubah cara pengurusan jenazah dan pengebumian di seluruh dunia dengan pelbagai SOP kesihatan.
Pandemik Covid-19 mengubah cara pengurusan jenazah dan pengebumian di seluruh dunia dengan pelbagai SOP kesihatan.

Lebih sedekad lamanya Mohamad Faisal Johan dan rakannya, Abang Biku Abang Kadir menguruskan pengebumian umat Islam di sebuah kawasan perkuburan di Kuching, Sarawak.

Beberapa tugas pengebumian dibahagikan antara mereka berdua: Abang Biku akan menguruskan ritual pengebumian sementara Faisal akan menyelesaikan urusan penyediaan jenazah sebelum pengebumian.

Selain daripada menggali liang lahad, mereka berdua juga bertanggungjawab membersihkan kawasan kubur, menebas rumput yang melata dan menyelenggara keseluruhan Tanah Perkuburan Islam Semariang.

“Semua kerja-kerja itu kami lakukan sebaik sahaja menerima laporan kematian daripada ahli keluarga si mati,” kata Abang Biku kepada MalaysiaNow.

Kebiasaannya, mereka akan menggali lapan liang lahad sehari.

“Namun ada juga hari-hari yang kami terpaksa menggali 10 liang, dan ada juga hari yang tak perlu gali sebab tak ada kematian,” katanya.

Sudah lama Abang Biku dan Faisal menjalankan kerja-kerja tersebut.

Bagaimanapun, apabila Covid-19 melanda negara, pengalaman selama beberapa tahun itu diuji apabila prosedur operasi standard (SOP) dilaksanakan.

Penggalian kubur mengikut SOP Covid-19 oleh Abang Biku dan pasukannya di Tanah Perkuburan Semariang, Kuching, Sarawak.

Keadaan terus berubah buat mereka, kerja-kerja yang sebelum ini mereka laksanakan terpaksa diubah suai, ia tidak lagi sama seperti dahulu.

Bahkan cara menggali liang kubur juga berubah ekoran beberapa langkah baru ditetapkan pihak berkuasa untuk jenazah pesakit Covid-19.

Kesemua SOP yang ditetapkan tersebut adalah demi mengelakkan jangkitan virus semasa kerja-kerja pengebumiannya.

“Kubur perlu digali sedalam lapan hingga 10 kaki,” kata Faisal bertanggungjawab menyediakan liang pengebumian jenazah.

Jengkaut terpaksa digunakan ketika menggali liang lahad kerana kedalamannya ruangnya lebih daripada biasa.

Ukuran itu adalah lebih dalam daripada ukuran kubur biasa, ia juga memakan masa lebih lama untuk digali.

“Penyediaan liang kubur biasa makan masa dua hingga tiga jam untuk digali.

“Namun untuk jenazah pesakit Covid-19, kubur mereka makan masa enam jam kerana kami terpaksa ikut SOP yang ditetapkan mufti negeri,” katanya.

Tempoh yang memakan masa selama itu sering menyukarkan kumpulan penggali liang lahad. Demi meminimumkan risiko penularan jangkitan virus, mereka terpaksa memakai mesin untuk menyelesaikan penggalian kubur si mati.

“Kami mesti selesaikan penggalian dengan segera dan dalam jangkamasa yang pendek,” kata Faisal dan menambah penggalian kubur dan proses pengebumian mesti diselesaikan walaupun cuaca hari tersebut tidak begitu baik.

Kebanyakan aspek lain dalam pengebumian pesakit Covid-19 pula akan diuruskan pihak hospital namun tanggungjawab yang berada di bahu Faisal dan teman-temannya sering membuat mereka berkejar dengan masa.

Walaupun beberapa langkah tambahan selain tempoh masa kerja yang lebih panjang dalam menguruskan jenazah sepanjang pandemik terpaksa dilalui mereka, Faisal dan rakan-rakannya perlu beradaptasi.

Menurut Abang Biku dan Faisal antara kelainan besar yang mereka perlu lakukan adalah menenangkan kawan-kawan dan ahli keluarga si mati yang terpaksa memberikan penghormatan terakhir dari jauh.

Tidak ramai yang boleh hadir ketika pengebumian pesakit Covid-19 termasuk ahli keluarga dan rakan taulan.

Mengikut SOP Covid-19, kehadiran ahli keluarga si mati adalah dihadkan.

“Situasai sekarang sudah berlainan, lagi-lagi bagi kematian akibat Covid-19.

“Bahkan selepas pengebumian selesai dan ambulans sudah pergi meninggalkan tanah perkuburan, jumlah orang yang hadir masih dihadkan.”

Hal ini menyebabkan situasi menyedihkan terpaksa dilalui ahli keluarga dan rakan taulan si mati.

Afyza, 38, kehilangan suaminya akibat kanser pada 12 Mei lalu, sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri.

Dia berkata, dirinya beruntung kerana boleh mengiringi jenazah suaminya sehingga selesai pengebumian, walaupun dia menyifatkan proses pengebumian terlalu singkat, “seperti touch and go sahaja,”.

“Namun saya bersyukur kerana semua ahli keluarga boleh ikut kebumi suami di kubur, walaupun tak senormal pengebumian sebelum ini yang membenarkan rakan-rakan untuk turut serta iringi jenazah,” kata ibu lima anak itu kepada MalaysiaNow.

“Namun rasa kehilangan itu sukar untuk ditukar ganti,” katanya.

Pihak petugas memakai PPE lengkap ketika membawa jenazah ke kawasan kubur.

Faisal dan Abang Biku sangat arif dengan duka yang ditanggung keluarga jenazah namun bersetuju SOP yang dilaksanakan ketika ini lebih menyukarkan keadaan.

“Sukar nak lepaskan orang yang pergi, lagi-lagi bila tahu anda tak boleh kebumikan keluarga tersayang dan terpaksa lambai jenazah dari jauh ketika ia dikebumikan,” kata mereka.

“Keadaan itu sangat menyedihkan.”

Situasi tersebut turut membuatkan kerja mereka lebih berat kerana terpaksa memastikan semua orang yang hadir mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Tapi kami mesti fokus supaya tugas dapat diselesaikan. Kami faham ia sukar buat mereka. Namun, walaupun sukar untuk dilakukan, kami terpaksa beritahu mereka juga dengan penuh hikmah.

“Kami harap mereka boleh bersabar dengan kerja-kerja yang terpaksa kami buat. Semua orang perlu mainkan peranan untuk perang menentang Covid-19 ini.”