- Iklan -
Berita

1,800 tidak hadir janji temu fasa kedua vaksinasi di Kelantan

Kelantan juga merekodkan 500,000 penerima vaksin lengkap setakat ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah memasuki fasa kedua. Kerajaan menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai tahun depan.
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sudah memasuki fasa kedua. Kerajaan menyasarkan imuniti kelompok dapat dicapai tahun depan.

Seramai 50,000 individu di Kelantan termasuk petugas barisan hadapan telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama dan kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, setakat ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Dr Zaini Hussin bagaimanapun berkata, bagi fasa kedua seramai 1,800 daripada 9,000 penerima vaksin melibatkan golongan warga emas dan berisiko yang telah berdaftar, gagal untuk hadir janji temu seperti dijadualkan.

“Kita harap sekiranya mereka ada halangan dan tidak dapat hadir untuk menerima vaksin pada tarikh dijadualkan, mereka perlu memaklumkan kepada pihak kami lebih awal untuk mengelak daripada pembaziran.

“Sekiranya perkara ini berlaku dan dimaklumkan awal, kita boleh sediakan senarai penerima ‘standby’ untuk divaksin memandangkan kita mempunyai senarai nama yang menunggu dalam kategori sama iaitu warga emas dan golongan berisiko,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Gelanggang Seni hari ini. Turut hadir Pengarah PKRC Kelantan Dr Mohd Azman Yacob.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata pihaknya tidak mengalami sebarang masalah dalam program imunisasi kebangsaan fasa pertama memandangkan ia melibatkan petugas barisan hadapan.

Mengenai kajian kementerian kesihatan (KKM) berhubung dua peratus daripada keseluruhan penduduk Kelantan yang menolak vaksin, Zaini menjelaskan antara sebab golongan terbabit menolaknya kerana meragui status halal vaksin berkenaan.

“Selain itu, mereka merasakan vaksin tidak memberi manfaat selain terpengaruh terhadap dakwaan kesan sampingan vaksinasi seperti ditularkan di media sosial,” katanya.

Berhubung lawatannya itu, Zaini berkata PKRC Gelanggang Seni dijangka beroperasi sepenuhnya mulai petang esok dan sekiranya perlu, ia mungkin dijadikan sebagai lokasi hospital medan bergantung kepada situasi semasa.