Tuesday, September 21, 2021

Ramai dijangkiti Covid-19, pakar nasihat belia ‘berjaga-jaga’

Ketika masih tiada kepastian mengenai hubungan antara varian Covid-19 dengan peningkatan kes dalam kalangan belia, pakar gesa SOP terus dipatuhi.

Other News

Pakar kesihatan mengingatkan belia Malaysia untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 dan mengelakkan kawasan tumpuan orang ramai susulan semakin banyak kes jangkitan virus itu dalam kalangan orang muda yang kini meragut lebih 1,700 nyawa dalam negara.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata angka tertinggi jangkitan pada tahun ini diwakili pesakit dewasa berusia antara 20 hingga 30 tahun.

Bercakap pada sidang media selepas hampir dua bulan tidak mengadakannya, beliau berkata pada ketika ini semakin ramai belia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keparahan lebih tinggi dan daya tahan yang lebih kuat terhadap rawatan.

Beliau turut mendedahkan varian Covid-19 dari UK, Afrika Selatan, Nigeria dan India dikesan di negara ini.

Beberapa pakar kesihatan yang dihubungi MalaysiaNow berkata terlalu awal untuk menyimpulkan peningkatan kes dalam kalangan belia atau yang berusia muda adalah akibat varian-varian yang ditemui pihak berkuasa kesihatan.

Namun, mereka bersetuju warga Malaysia yang berada dalam peringkat usia tersebut perlu mengambil langkah tambahan dalam penjagaan kesihatan demi berjaga-jaga daripada terkena jangkitan.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial Azrul Mohd Khalib berkata data masih lagi tidak mencukupi untuk mengesahkan hubungan antara varian-varian tersebut dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian kumpulan pesakit-pesakit berusia muda.

Bagaimanapun, beliau berkata ledakan kes kebelakangan ini adalah lebih “parah dan agresif” daripada beberapa gelombang pandemik dalam negara sebelum ini selain peningkatan kes “sangat berbeza” daripada apa yang dicatatkan tahun lalu.

Beliau berkata ICU di hospital yang terletak di Lembah Kelang, Kelantan, Sarawak, Johor dan Pulau Pinang dipenuhi pesakit yang berada dalam peringkat teruk.

“Kita melihat semakin ramai pesakit muda dimasukkan ke dalam wad berada dalam peringkat teruk,” katanya.

“Bila kami teliti 309 kes kematian akibat Covid-19 dari 31 Mac lalu hingga 4 Mei, lebih kurang 21% adalah dari peringkat umur 25 hingga 54 tahun, melebihi 19% jumlah keseluruhan korban yang dilaporkan daripada kumpulan umur 55 hingga 64 tahun.”

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia Dr Subramaniam Muniandy turut bersetuju alasan sebenar peningkatan kes yang melibatkan golongan belia masih lagi tidak diketahui.

Bagaimanapun, beliau berkata kurangnya kepatuhan terhadap SOP semestinya menjadi “faktor utama.”

Beliau berusia 20 hingga 39 tahun dianggap sebagai kumpulan paling aktif dari sudut pergerakan sosial kerana merupakan golongan dewasa yang bekerja selain mewakili pelajar di institusi pengajian tinggi.

Kebanyakannya menghabiskan masa di pusat beli-belah, pasar raya dan restoran yang merupakan lokasi tumpuan ramai.

Subramaniam turut memetik sistem amaran awal atau Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE), mengatakan kebanyakan tempat yang disenaraikan merupakan kawasan tumpuan orang ramai.

“Kerumunan orang ramai adalah penyumbang terbesar dalam peningkatan kes.

“Kluster tempat kerja pun direkodkan setiap hari. Ini juga jadi penyebab peningkatan kes,” katanya.

Beliau turut menggesa kementerian kesihatan mengesahkan jika terdapat kes-kes yang direkodkan kebelakangan ini disebabkan varian-varian yang dibimbangi lebih mudah menular dan menjangkiti orang ramai.

Dalam pada itu, beliau menasihatikan golongan belia elakkan daripada melakukan perjalanan yang tidak penting dan kekal duduk di rumah demi membendung penularan virus.

Azrul juga turut bersetuju kepatuhan terhadap SOP adalah amat penting bagi mencegah jangkitan. Namun, beliau turut berkata adalah mustahil untuk meminta orang ramai kekal berada di rumah dalam tempoh masa yang lama.

“Orang ramai perlu kerja, perlukan pendapatan untuk hidup, beli barang keperluan, bersosial dan menjalankan urusan,” katanya.

“Mengawal golongan yang paling produktif dalam masyarakat untuk kekal di rumah tanpa terlibat dalam ekonomi juga bahaya untuk negara, ia akan menjejaskan pembangunan dan kebangkitan semula sepanjang dan selepas krisis berjaya ditamatkan.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles