- Iklan -
Berita

KM Sarawak akan menghadap Agong berhubung pembubaran DUN

Gabungan GPS berkata, DUN akan dibubarkan berdasarkan tarikh yang ditetapkan Agong.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Penggal Dewan Undangan Negeri ketika ini akan berakhir pada 6 Jun depan.  Gambar: Bernama
Penggal Dewan Undangan Negeri ketika ini akan berakhir pada 6 Jun depan. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg dijangka akan menghadap Yang di-Pertuan Agong berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), menjelang tarikh tamatnya bulan depan.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Alexander Nanta Linggi berkata, perkara itu akan diputuskan oleh Agong selepas mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertua Negeri Abdul Taib Mahmud.

“Ketua menteri mengadakan pertemuan dengan TYT dan memaklumkan kepadanya di bawah Perlembagaan Sarawak, tempoh tamat DUN ialah pada 6 Jun, 2021, lima tahun selepas tarikh sidang yang pertama pada 7 Jun, 2016 selepas pilihan raya negeri Sarawak pada tahun itu.

“Bagaimanapun, peruntukan perlembagaan negeri ini tidak terpakai disebabkan Ordinan Darurat 2021. Disebabkan itu pembubaran DUN hanya akan berlaku selepas diputuskan Agong selepas mengadakan perbincangan dengan TYT,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi GPS yang dipengerusikan Abang Johari di Kuching hari ini.

Nanta yang juga setiausaha agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu berkata, kerajaan GPS sangat bimbang dengan situasi pandemik dan mengambil serius bahaya kepada keselamatan dan kehidupan rakyat Sarawak.

“Keputusan GPS ialah mengadakan pilihan raya ketika krisis Covid-19 sedang memuncak adalah sangat membahayakan.

“Tambahan pula, kita sedang dalam darurat. Jadi mengadakan pilihan raya bukanlah keutamaan kerajaan negeri Sarawak pada ketika ini,” katanya.

Menurut Perlembagaan Sarawak, pilihan raya negeri perlu diadakan 60 hari selepas pembubaran DUN.

Ini bermakna, Sarawak seharusnya mengadakan pilihan raya negeri sebelum 7 Ogos tahun ini.