- Iklan -
Berita

Tiada rancangan ikut AS longgar SOP kepada penerima vaksin, kata KP kesihatan

Menurut Dr Noor Hisham, UK yang sudah menjalankan vaksinasi terhadap 30 juta penduduknya tetap kekal laksana SOP sedia ada.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini berkata Malaysia tidak akan mengikut langkah yang diambil Amerika Syarikat yang baru-baru ini mengumumkan warganya yang telah menerima suntikan vaksin lengkap tidak lagi perlu memakai pelitup muka baik di kawasan tertutup atau terbuka.

Beliau berkata Malaysia akan meneruskan kaedah sedia ada untuk memerangi Covid-19: dengan pelaksanaan vaksinasi dan kepatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) kesihatan.

“Di United Kingdom, lebih 30 juta orang telah menerima suntikan vaksin, namun mereka masih mematuhi SOP kesihatan dengan memakai pelitup muka,” kata beliau kepada MalaysiaNow.

Semalam, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS (CDC) berkata garis panduan memakai pelitup muka akan dilonggarkan kepada mereka yang telah menerima vaksin Covid-19 lengkap.

“Sesiapa yang telah menerima vaksin lengkap boleh menyertai aktiviti di kawasan tertutup dan terbuka, sama ada aktiviti skala kecil atau besar tanpa perlu memakai pelitup muka atau mengamalkan penjarakan fizikal.

“Jika anda sudah menerima vaksin secara penuh, anda sudah boleh melakukan hal-hal yang sebelum ini anda tak boleh lakukan ekoran pandemik,” kata Pengarah CDC Rochelle Walensky dalam sebuah taklimat.

Lebih 60% daripada orang dewasa di AS telah menerima satu atau lebih dos suntikan vaksin Covid-19 ketika kes harian di negara itu kini menurun dengan purata 38,000 orang seminggu atau 11 jangkitan bagi 100,000 orang.

Pada Mac lalu, dalam sebuah kenyataan, Noor Hisham menegaskan mereka yang telah menerima dua dos suntikan vaksin mesti terus mematuhi SOP susulan penemuan beberapa varian Covid-19.

Beliau berkata, langkah tersebut adalah demi memastikan pelaksanaan program vaksinasi kebangsaan bergerak lancar yang ketika ini sudah pun memasuki fasa kedua.

Pada 11 Mei lalu, sebanyak 1.17 juta warga Malaysia telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sementara 724,517 lagi telah menerima dua dos vaksinasi.

Jumlah itu mewakili 2.2% jumlah populasi keseluruhan penduduk Malaysia.