- Iklan -
Berita

‘Sentiasa bimbang’: Pekerja asing tempuh pandemik demi keluarga di kampung halaman

Kehidupan Sonata di Sarawak sangat sukar, namun dia tahu situasi lebih buruk jika pulang ke kampungnya di Jakarta.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Sonata di bilik sewanya di Kuching, Sarawak. Ramai pekerja Indonesia yang terjejas dengan pandemik yang melanda negara ini.
Sonata di bilik sewanya di Kuching, Sarawak. Ramai pekerja Indonesia yang terjejas dengan pandemik yang melanda negara ini.

Sonata, seorang pekerja asing dari Indonesia tiba di Malaysia kira-kira setahun lalu untuk bekerja demi menyediakan kehidupan yang lebih baik buat keluarganya di kampung.

Malangnya, sesampainya dia di negara ini, pandemik Covid-19 melanda.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan. Pelaksanaan sekatan pergerakan selama tiga bulan itu terpaksa dihadapi Sonata.

Pemuda berusia 28 tahun itu tiba di Kuching, Sarawak sebulan sebelum PKP dilaksanakan.

Pada awalnya, dia fikir semuanya akan kembali seperti sediakala dalam masa beberapa minggu.

Namun minggu bertukar bulan, Covid-19 masih belum pergi.

PKP pula terus dilanjutkan beberapa kali.

Sonata terkandas di negara ini, tanpa kerja, makanan dan wang.

Pekerjaan yang dijadualkan sebelum ini tidak dapat dimulakan ekoran pelaksanaan PKP melarangnya.

“Saya hanya bawa 500,000 rupiah (RM70), tak cukup untuk makan selama seminggu,” katanya kepada MalaysiaNow.

Tidak memiliki pilihan lain, dia terpaksa menghabiskan masa selama beberapa bulan di bilik sewanya yang dikongsi bersama dua temannya yang lain di kota itu.

“Kebanyakan waktu, saya terpaksa duduk saja dalam bilik kelaparan,” katanya.

“Saya hanya makan sekali sehari, apa saja makanan kering yang boleh saya makan.”

Sonata dan rakannya terpaksa berlapar ketika mereka tidak dapat bekerja ketika PKP pertama kali dilaksanakan.

Kadangkala, dia keluar pada jauh malam untuk mencari sesuatu untuk mengalas perut termasuk ikan yang kadang-kadang dapat ditangkap di parit dan longkang.

Dia terlalu takut untuk melakukan perkara lain kerana tidak memiliki permit kerja.

Bagi kebanyakan pekerja asing, terutama yang berada dalam sektor 3D (Dirty-Dangerous-Difficult) atau kotor, bahaya dan sukar, terpaksa bergelut untuk menjalani kehidupan seharian sejak pandemik melanda negara.

Wujud juga kebimbangan mengenai kesihatannya kerana majoriti pekerja asing tinggal dalam asrama yang sesak menyebabkan kawasan tempat tinggal mereka berisiko tinggi diserang wabak Covid-19.

Akhir tahun lalu, kerajaan mendedahkan tempat tinggal lebih 91.1% atau 1.4 juta pekerja asing dalam negara tidak mengikut piawaian yang ditetapkan undang-undang pekerja.

Dengan wang yang tinggal sedikit dan kurangnya perlindungan sosial, Sonata dan yang senasib dengannya terpaksa berdepan hari-hari sukar sendirian dan cuba meneruskan hidup setakat kemampuan mereka.

Selepas setahun berlalu, kini setiap pagi, Sonata berbasikal menuju ke tempat kerja, di sebuah tapak bina dua kilometer dari tempat tinggalnya.

Di sana, Sonata menghabiskan waktu membancuh dan mengangkat simen, pasir, dan batu bata.

Setiap hari, selama lapan jam Sonata bekerja, dia menerima gaji sebanyak RM1,000 sebulan selain sedikit lebihan upah untuk kerja lebih masanya.

Sonata sedar kerjanya sukar dan berat, namun dia juga tahu tidak memiliki banyak pilihan.

“Tak ada gunanya saya pulang ke kampung kerana di sana, pendapatan lebih sukar dicari. Kerana itulah saya jadi pekerja asing di sini,” katanya.

Sonata turut memberitahu MalaysiaNow sentiasa bimbang jika dia dijangkiti Covid-19 di tempat kerja walaupun sering diingatkan mengenai langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko terkena jangkitan.

“Sudah pasti saya risau dan takut, bukan sahaja tentang diri saya, bahkan risau tentang keluarga di kampung,” katanya.

Bagi Sonata, kebimbangan mengenai keluarga menjadi bahagian paling sukar buat setiap pekerja asing.

Dia merindui keluarganya yang tidak ditemui sejak pandemik diumumkan.

“Isteri saya hubungi saya setiap hari menangis kerana saya tak dapat pulang menyambut lebaran bersama mereka.

“Saya sangat merindui mereka, namun kerana situasi sukar ini, suka atau tidak, saya tak boleh pulang.”