- Iklan -
Berita

MB, exco Terengganu sumbang sebulan gaji bantu Palestin

Syarikat berkaitan kerajaan Terengganu turut memperuntukkan dana untuk disumbang kepada Palestin melalui sekretariat #Aid4Palestine.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Warga Palestin memeriksa runtuhan rumah akibat serangan udara Israel semalam di bandar Beit Hanoun, Gaza. Gambar: AP
Warga Palestin memeriksa runtuhan rumah akibat serangan udara Israel semalam di bandar Beit Hanoun, Gaza. Gambar: AP

Prihatin dengan nasib rakyat Palestin yang menderita akibat kekejaman rejim Zionis Israel, barisan kepimpinan kerajaan negeri Terengganu bersetuju memotong sebulan gaji mereka untuk disalurkan ke Tabung #Aid4Palestine.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Mohd Nor Hamzah berkata selain Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar, kesemua 10 exco turut berbuat demikian.

“Wakil rakyat penyokong kerajaan pula menyumbang RM3,000 seorang manakala syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik negeri turut menyumbang dana dengan bantuan terkumpul setakat ini sebanyak RM100,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Nor turut menyeru rakyat Terengganu supaya terus menyumbang kepada tabung itu sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin.

Sekretariat #Aid4Palestine ditubuhkan hasil kerjasama lebih 40 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertujuan menggerakkan misi mengambil tindakan proaktif dan segera dalam membantu perjuangan rakyat Palestin yang kini ditindas rejim Zionis.

Sekretariat itu turut berperanan menyelaras bantuan kewangan untuk Palestin dengan sasaran kutipan sebanyak RM1 juta.