Friday, September 17, 2021

Malaysia terima RM1.9 bilion dana 1MDB yang disita DoJ

Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset telah menerima RM16.05 bilion yang disita daripada dana 1MDB.

Other News

Jabatan Keadilan Amerika (DoJ) memulangkan dana 1MDB berjumlah RM1.9 billion (AS$452,363,867.40) yang disitanya ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset, kata kementerian kewangan hari ini.

Menurut kementerian kewangan, setakat ini, akaun amanah yang diselia Jabatan Akauntan Negara menerima sebanyak RM16.05 bilion yang disita daripada 1MDB.

“Jumlah di dalam Akaun Amanah tersebut akan digunakan untuk melunaskan baki hutang 1MDB dan SRC,” katanya merujuk kepada bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Setakat ini, kerajaan sudah membayar sejumlah RM12.4 bilion hutang 1MDB dan RM3.1 bilion liabiliti SRC International.

“Baki hutang merangkumi prinsipal dan kupon, keuntungan, faedah bagi bon, sukuk dan pinjaman berjangka, adalah sebanyak RM39.8 billion (1MDB) dan RM2.57 bilion (SRC).”

Dalam kenyataan itu Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata, baki semasa dalam akaun tersebut hanya cukup untuk melunaskan prinsipal dan faedah hutang 1MDB untuk 2021 dan 2022 sahaja.

“Baki ini tidak termasuk jumlah penyelesaian sebanyak RM2.83 bilion yang akan diterima dari Kumpulan Ambank dan RM336 juta dari Deloitte PLT,” katanya.

“Rundingan juga sedang dijalankan dengan KPMG. Setelah semua dana akaun amanah digunakan, kerajaan tetap perlu menanggung obligasi bayaran baki hutang 1MDB memandangkan hutang tersebut adalah disokong oleh kerajaan melalui jaminan kerajaan dan surat sokongan semasa hutang-hutang ini diterbitkan.”

Beliau berkata usaha pemulihan aset oleh kerajaan pada masa ini memfokuskan kepada pihak-pihak yang menyebabkan kerugian kepada 1MDB dan SRC semasa menjalankan tanggungjawab mereka, sama ada melalui penglibatan secara langsung atau tidak langsung dalam pelbagai operasi dan transaksi.

“Semua yang terlibat akan dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas salah laku melalui penglibatan di dalam 1MDB dan/atau SRC.”

Pengumuman terbaru kementerian kewangan ini adalah susulan 22 saman sivil yang difailkan 1MDB dan SRC International terhadap beberapa entiti dan individu yang dituduh melanggar kewajipan kontrak dan pengkayaan tidak wajar.

Writ yang difailkan itu termasuk enam oleh 1MDB dan 16 lagi oleh SRC International difailkan pada 7 Mei lalu untuk pemulangan aset dengan jumlah keseluruhan melebihi RM96.6 bilion (AS$23 bilion), termasuk kira-kira RM300 juta tuntutan terhadap pelbagai pihak tempatan.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles