- Iklan -
Berita

Guru terbabit komen jenaka rogol dipindahkan

Pengetua sekolah turut buat laporan polis berhubung komen yang ditinggalkan menerusi akaun Facebooknya.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Sekolah harus menjadi tempat selamat bagi pelajar dan guru. Gambar: Bernama
Sekolah harus menjadi tempat selamat bagi pelajar dan guru. Gambar: Bernama

Guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Puncak Alam, Selangor yang membuat jenaka rogol seperti didedahkan pelajar tingkatan lima, Ain Husniza Saiful Nizam baru-baru ini dipindahkan ke Jabatan Pendidikan Negeri Selangor.

Dalam satu kenyataan, kementerian pendidikan (KPM) memaklumkan status guru itu akan kekal di jabatan tersebut sehingga siasatan selesai, manakala tindakan seterusnya bergantung kepada hasil siasatan kes.

Sebelum ini, KPM tidak mengeluarkan sebarang kenyataan memandangkan insiden tersebut dalam siasatan polis.

Dalam perkembangan sama, KPM turut memaklumkan pengetua sekolah yang didakwa memuat naik komen tidak wajar terhadap Ain Husniza juga telah membuat laporan polis.

“KPM mengesahkan bahawa satu laporan polis telah dibuat oleh pengetua berkenaan di Balai Polis Kuala Selangor yang menafikan bahawa beliau telah memuat naik komen berkenaan dan mengesyaki akaun Facebook miliknya telah digodam,” jelas KPM dalam kenyataan tersebut.

Terdahulu, sebuah tangkap layar komen pengetua itu di Facebook dimuat naik oleh bapa Ain di media sosial.

Dalam pada itu, KPM juga turut menjelaskan mengenai surat amaran kerana tidak hadir ke sekolah yang diterima oleh Ain.

“Pemantauan kehadiran murid ke sekolah dilaksanakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid.

“Sekiranya murid tidak hadir ke sekolah selama tiga hari berturut-turut atau 10 hari tidak berturut-turut tanpa mengemukakan sebab secara bertulis kepada pihak sekolah, guru, melalui sistem ini, akan menjana Surat Pemberitahuan Ketidakhadiran ke Sekolah: Amaran Pertama.

“Surat ini kemudiannya akan diposkan kepada ibu bapa atau penjaga murid dan juga pihak sekolah mengetahui dan cakna akan kehadiran dan keberadaan murid semasa sesi persekolahan,” tambahnya.

Sebanyak enam surat pemberitahuan ketidakhadiran dikeluarkan sekolah itu bagi tempoh 16 hingga 30 April.

Ain menjadi remaja di sebalik gerakan “Make school a safer place” selepas membuat pendedahan mengenai jenaka rogol oleh gurunya semasa sesi pengajaran dan pembelajaran.

Ekoran pendedahan yang dilakukannya, Ain turut menerima ancaman rogol oleh salah seorang rakan sekolahnya dan menjadi tumpuan utama perdebatan dalam kalangan tokoh masyarakat, aktivis dan pakar pendidikan dalam negara.