Friday, September 17, 2021

Agong terima panggilan Erdogan, Malaysia sokong sidang tergempar OIC

Agong menzahirkan ketetapan yang diambil kerajaan Malaysia untuk bersama Turki dan komuniti antarabangsa mengecam pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel.

Other News

Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan menerima panggilan telefon secara peribadi daripada Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan, di Istana Negara semalam.

Menurut kemas kini terbaru di laman Facebook rasmi Istana Negara, Agong menzahirkan ketetapan yang diambil oleh kerajaan Malaysia untuk bersama Turki dan komuniti antarabangsa mengecam pencerobohan dan serangan tentera penjajah Israel serta pendatang haram Yahudi ke atas rakyat Palestin dan jemaah yang beribadah di Masjid Al-Aqsa baru-baru ini.

Dalam perbualan telefon selama 20 minit bermula pukul 6 petang itu, Yang di-Pertuan Agong turut menegaskan bahawa Malaysia menyokong dan mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan persidangan tergempar Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincang isu keganasan Israel terhadap Palestin.

Selain itu Sultan Abdullah turut menyentuh tentang hubungan dua hala yang erat terjalin selama ini di antara Malaysia dan Turki serta usaha-usaha pengukuhan perdagangan antara kedua-dua negara.

Agong dan Erdogan pada masa yang sama turut bertukar ucapan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri termasuk kepada ahli keluarga.

Pada masa yang sama Agong juga menzahirkan penghargaan kepada Erdogan atas jemputan mengadakan Lawatan Negara ke Turki pada September tahun ini.

Sebelum ini Sultan Abdullah dijadualkan mengadakan Lawatan Negara ke Turki selama lima hari bermula pada 19 April 2020, namun terpaksa ditangguhkan berikutan penularan wabak Covid-19.

Mengikut rekod kali terakhir Sultan Abdullah berkenan berbual bersama Erdogan menerusi panggilan telefon ialah pada 6 Jun tahun lalu di Istana Negara dan Agong sebelum itu juga berkenan menerima menghadap pemimpin berkenaan di Istana Negara pada 18 Dis 2019 sempena Sidang Kemuncak Kuala Lumpur.

Terdahulu pada pukul 3 petang, Sultan Abdullah berkenan membuat panggilan telefon secara peribadi kepada Presiden Indonesia Joko Widodo bagi menzahirkan ucapan selamat Hari Raya Aidilfitri kepada keluarganya serta seluruh rakyat Indonesia.

Menurut kenyataan itu, Agong turut menzahirkan ucapan takziah kepada pemimpin itu dan seluruh keluarga mangsa kapal selam KRI Nanggala 402 susulan tragedi kemalangan yang menimpa kapal itu pada 21 April di utara perairan Bali, Indonesia.

Menerusi panggilan itu Joko Widodo juga merakamkan ucapan penghargaan kepada Malaysia atas bantuan yang diberi dalam usaha mencari dan menyelamat kapal selam itu selain merakamkan ucapan terima kasih kepada Sultan Abdullah atas doa dan sokongan kepada seluruh rakyat Indonesia.

Selain itu kedua-dua pemimpin turut berkongsi pandangan berkenaan usaha memerangi penularan Covid-19 di kedua-dua negara termasuk perintah kawalan pergerakan (PKP) dan larangan merentas daerah serta negeri yang juga dilaksanakan di Indonesia.

Dalam perbualan itu, Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar hubungan dua hala dan kerjasama di antara kedua-dua negara akan kekal erat dan terus utuh walaupun berhadapan dengan kekangan situasi Covid-19.

Kali terakhir pertemuan di antara Agong bersama presiden Indonesia itu ialah pada Ogos 2019 bersempena lawatan negara ke Indonesia selama empat hari bermula 26 Ogos yang merupakan lawatan sulung Sultan Abdullah setelah ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles