- Iklan -
Berita

Suu Kyi bakal tampil pertama kali di mahkamah pada 24 Mei

Ikon Myanmar itu ditahan bersama beberapa pegawai tinggi lain pada 1 Februari kerana dituduh terlibat penipuan dalam pilihan raya November tahun lalu.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Aung San Suu Kyi tidak tampil di khalayak umum sejak dijatuhkan junta tentera sejak Februari lalu. Gambar: AP
Aung San Suu Kyi tidak tampil di khalayak umum sejak dijatuhkan junta tentera sejak Februari lalu. Gambar: AP

Pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi akan muncul buat kali pertama sejak rampasan kuasa tentera di mahkamah khas di Naypyitaw pada 24 Mei, lapor Sputnik memetik laporan wadah berita pembangkang Irrawaddy pada Isnin.

Semua perbicaraan mahkamah kes Suu Kyi sebelum ini, termasuk pada Isnin, diadakan secara sidang video.

Menurut laporan itu, perbicaraan berikutnya akan diadakan di mahkamah daerah Zayar Theikdi Ward, berdekatan kediaman kaunselor negara yang digulingkan itu di Naypyitaw.

Semasa perbicaraan pada Isnin, Suu Kyi sekali lagi menuntut pertemuan peribadi dengan peguamnya yang belum pernah ditemuinya untuk berbincang mengenai pembelaan, kata media tersebut.

Ikon demokrasi Myanmar itu ditahan bersama beberapa pegawai tinggi lain pada 1 Februari, ketika rampasan kuasa tentera yang menuduh partinya terlibat penipuan dalam pilihan raya November.

Sebilangan besar mereka yang ditahan telah dibebaskan, kecuali Suu Kyi, Presiden Win Myint dan beberapa pemimpin kanan parti yang dikenakan tahanan rumah.

Suu Kyi pada awalnya dituduh mengimport walkie-talkie secara tidak sah dan melanggar undang-undang bencana alam dengan mengadakan kempen menjelang pilihan raya November, melanggar sekatan pergerakan Covid-19.

Tentera kemudiannya menuduh Suu Kyi melanggar undang-undang mengenai rahsia negara, yang boleh dihukum penjara hingga 14 tahun.