Thursday, June 17, 2021

PKP 3.0 tak seketat PKP 1.0 kerana tak mahu rakyat susah

Kerajaan berpegang kepada pendirian untuk terus mengimbangi antara keperluan kesihatan dan keperluan kehidupan rakyat.

Other News

Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula esok adalah tidak seperti PKP 1.0 tahun lepas, kerana tidak mahu menyusahkan rakyat menjalani kehidupan harian, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan berpegang kepada pendirian untuk terus mengimbangi antara keperluan kesihatan dan keperluan kehidupan rakyat, selepas negara kehilangan RM2.4 bilion sehari semasa PKP 1.0 pada 18 Mac hingga 3 Mei 2020, yang menyaksikan penutupan semua sektor ekonomi.

“Bila kita umumkan PKP 3.0 semalam ada juga yang marah kenapa kita tidak buat seperti 1.0 (yang ketat), tapi bila kita buat PKP 1.0 orang ramai pun marah. Tentunya kita tidak boleh nak puaskan hati semua orang.

“Apabila kita tutup semua sektor ekonomi, paling terjejas adalah kumpulan peniaga kecil yang tidak mampu meneruskan hidup, kerana kita menutup peluang perniagaan mereka,” katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Putrajaya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan Malaysia sekali lagi melaksanakan PKP di seluruh negara bermula Rabu hingga 7 Jun, sebagai usaha untuk membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin meningkat.

Sepanjang tempoh PKP kali ini, semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi dan SOP terperinci bagi semua larangan serta arahan, akan diumumkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ismail menjelaskan, mesyuarat teknikal MKN hari ini menetapkan bahawa prosedur operasi standard (SOP) PKP, akan diguna pakai di seluruh negara termasuk di kawasan yang sedang dikenakan PKP bersyarat (PKPB), PKP diperketatkan (PKPD) dan PKP pemulihan (PKPP) bagi mengelak sebarang kekeliruan.

Katanya maklumat lanjut mengenai SOP PKP, boleh diakses di laman sesawang setiap kementerian yang berkaitan serta laman sesawang MKN.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan akan melaksanakan PKPD di Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Pelagat 3, Mukim Pelagat, Besut, Terengganu berkuatkuasa 14 hingga 27 Mei ini, susulan 52 kes positif Covid-19 dicatatkan di kawasan itu, daripada 86 ujian saringan yang dijalankan.

Katanya PKPD turut dilaksanakan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di Pengkalan Hulu, Hulu Perak, Perak serta di Kampung Baru Tras, Kampung Sungai (Sg) Cheetang dan Kampung Sang Lee, Tras, Raub, Pahang bermula 13 hingga 26 Mei ini.

Ia susulan peningkatan jangkitan kes di kawasan berkenaan yang mencatatkan masing-masing 91 dan 17 kes positif Covid-19, sekali gus bagi memudahkan kementerian kesihatan (KKM) menjalankan pengesanan awal kes-kes Covid-19 dan kontak rapat.

Dalam pada itu Ismail berkata, PKPD di lima penempatan sekitar Sungai Klau, Raub, Pahang yang dijadualkan tamat esok, akan disambung sehingga 26 Mei memandangkan KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan jangkitan di kawasan berkenaan.

Beliau turut mengumumkan PKPD di Kampung Baru, Sungai Chalit dan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Sungai Chalit, Raub, Pahang ditamatkan esok seperti dijadualkan, manakala PKPD di Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman, Kok Lanas, Kota Bharu, Kelantan ditamatkan hari ini, lebih awal daripada dijadualkan pada Jumaat.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles