- Iklan -
Berita

Noor Hisham ulangi darurat selamatkan Malaysia daripada kes Covid-19 lebih tinggi

Menurut Noor Hisham ordinan darurat yang dilaksanakan ketika ini turut membantu dalam menangguhkan PRN Sarawak yang dijadual akan diadakan pada Jun depan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah. Gambar: Bernama

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menafikan ordinan darurat gagal membendung angka kes harian Covid-19, bahkan ia banyak membantu dalam mengelakkan pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri (PRN) diadakan.

Bercakap pada sidang media hari ini, Noor Hisham berkata ordinan darurat digunakan untuk menangguhkan pilihan raya demi mengelakkan perhimpunan orang ramai seperti yang berlaku di Sabah tahun lalu.

Menurut Noor Hisham ordinan darurat yang dilaksanakan ketika ini turut membantu dalam menangguhkan PRN Sarawak yang dijadualkan akan diadakan pada Jun depan.

“Kalau kita lihat ordinan darurat banyak membantu. Salah satu faktor penting kita dapat gunakan untuk elakkan pilihan raya kecil di Batu Sapi dan PRN Sarawak, kalau kita tak ada ordinan darurat kita kena adakan pilihan raya dalam masa 60 hari.

“Kita dapat lihat implikasi PRN Sabah, jangkitan selepas pilihan raya hingga ke semenanjung dan semua negeri,” katanya.

8 Mei lalu, Noor Hisham berkata sebarang langkah untuk mengadakan pilihan raya bermaksud perhimpunan secara besar-besaran akan diadakan.

“Bayangkanlah kalau orang Sarawak balik daripada Sabah dan Semenanjung untuk mengundi di kawasan pedalaman, jadi jangkitan pasti akan berlaku.

“Inilah kebimbangan kita. Kalau jangkitan berlaku di kawasan pedalaman di Sarawak, pusat kesihatan kita mungkn tidak mampu mengesan dan merawat pesakit tersebut. Jarak kawasan pedalaman yang jauh, agak sukar untuk kita memberikan rawatan kepada pesakit-pesakit tersebut.

Pada Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah telah mengisytiharan Proklamasi Darurat sekaligus menangguhkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Langkah mengisytiharkan darurat diambil di tengah-tengah ancaman beberapa ahli politik Umno untuk menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang dipimpin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Kehilangan sokongan majoriti boleh menyebabkan pembubaran Parlimen dan pilihan raya perlu diadakan. Ia adalah sebuah senario yang dibantah Noor Hisham dan pegawai kanan negara sejak tahun lalu.