Monday, September 20, 2021

Ibrahim Ali mengaku terima wang berkait 1MDB, SRC dari Najib

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu bagaimanapun tidak menyedari cek yang diterimanya berkaitan dengan wang SRC dan 1MDB.

Other News

Presiden Putra Ibrahim Ali hari ini mengaku menerima cek daripada bekas perdana menteri, Najib Razak melibatkan sejumlah wang dari SRC International dan 1MDB.

Bagaimanapun Ibrahim berkata, beliau tidak menyedari cek tersebut berkaitan dengan wang SRC dan 1MDB.

“Saya mengaku menerima sekeping cek personal Najib yang tertera nama beliau pada cek tersebut, yang tidak saya sedar sama sekali ianya berkait dengan wang SRC mahu pun 1MDB sebab tiada nama SRC mahupun 1MDB di cek tersebut.

“Saya tidak ingat bila terimanya tetapi yang pasti sebelum isu 1MDB terbongkar selepas PRU13.

“Jika sudah terbongkar, pastinya saya tidak akan mahu menerimanya dan Najib sendiri tidak akan menggunakan lagi akaun tersebut lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Minggu lalu, 1MDB dan bekas anak syarikatnya SRC International Sdn Bhd memfailkan saman sivil terhadap beberapa personaliti yang dididakwa menipu syarikat milik negara itu.

Mereka juga menyaman entiti yang mungkin tidak melakukan penipuan tetapi terlibat dalam proses itu – secara sedar atau tidak.

Antara yang dinamakan termasuk Najib, bekas pengerusi 1MDB, Lodin Wok Kamaruddin dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Mohd Hazem Abdul Rahman dan Arul Kanda Kandasamy.

Beberapa anggota keluarga Low Taek Jho atau Jho Low juga dinamakan, termasuk ayahnya Larry Low Hock Peng dan kakaknya Low May Lin.

Ibrahim dinamakan dalam saman anak syarikat SRC – GMSB and JPSB – yang mendakwa terdapat 14 pihak menerima wang SRC, termasuk Najib dan Umno Selangor.

Ibrahim berkata, beliau tidak mempunyai peruntukan untuk mengadakan program sepanjang perkhidmatan sebagai ahli Parlimen bebas selama lima tahun dari 2008 hingga 2013.

Bekas ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, Najib bersetuju untuk membantunya menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi.

Ibrahim menganggap Najib memberikan bantuan kewangan atas dasar beliau adalah ahli Parlimen bebas yang dianggap rapat dengan Barisan Nasional (BN).

“Selesai PRU13, saya berjumpa Najib untuk minta bantu selesaikan masalah kewangan yang banyak dibelanjakan sepanjang lima tahun tersebut termasuk ketika bertanding PRU13.

“Beliau setuju membantu pada fikiran saya kerana saya AP Bebas ‘friendly BN’ sebelum itu.

“Saya tidak ambil tahu dana mana dia ambil bantu saya,” katanya.

“Mungkin dari tabung Umno atau BN, atau simpanannya sendiri.”

Ibrahim berkata, punca sumbangan Najib tidak dipersoalkan memandangkan statusnya sebagai seorang ahli politik yang berkhidmat sejak dulu lagi.

“Semua sumbangan itu saya belanjakan yang tidak perlu saya huraikan sekarang, tetapi yang pasti ianya dihabiskan untuk membiayai perbelanjaan program-program rakyat di Pasir Mas dan tidak digunakan untuk perbelanjaan peribadi saya,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles