Saturday, June 19, 2021

DAP cuba jadi ‘abang besar’ kepada komuniti Cina, kata Zuraida

Zuraida mengeluarkan kenyataan itu selepas Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong berkata Umno harus terima hakikat mereka bukan lagi 'abang besar'.

Other News

Zuraida Kamaruddin hari ini mengatakan DAP cuba menjadi parti dominan kepada komuniti Cina, selepas Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menggesa Umno hadir bersama dengan parti-parti lain, tanpa memainkan peranan sebagai “abang besar”.

Dalam tulisan di Facebook sebelum ini Liew berkata politik Malaysia akan stabil apabila Umno menerima hakikat tiada lagi parti dominan dan rela hadir bersama atau “co-exist” dengan parti-parti lain, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.

“Apabila Umno menjadi pembangkang, ia harus memberi laluan kepada kerajaan baru untuk mentadbir,” katanya.

“Langkah Sheraton berlaku kerana ramai pemimpin Umno masih berfikiran lama dan tidak rela menerima hakikat kekalahan mereka dalam PRU14. Akhirnya strategi itu memakan diri sendiri.”

Zuraida yang juga ahli majlis pimpinan tertinggi Bersatu berkata, DAP perlu mencerminkan diri mereka dan menambah kerajaan Pakatan Harapan selama 22 bulan lalu menampakkan “belang sebenar” mereka yang cuba menjadi dominan dalam masyarakat Cina di Malaysia.

“Bermula dari pemilihan kerusi pilihan raya yang bersifat mengikut kaum, DAP kuat menggasak kerajaan dan parti komponen lain untuk mengikut telunjuk mereka khususnya dalam hal ehwal masyarakat dan komuniti Cina.

“Ini terbukti antaranya dengan keputusan menyalurkan peruntukan dana khas kepada sebuah kolej persendirian, terus daripada kementerian kewangan pada waktu itu dan tidak melalui kementerian pendidikan.

“DAP dengan cara ini cuba mengukuh cengkaman terhadap komuniti Cina,” katanya.

“Maka, adakah DAP tidak bertindak sebagai ‘abang besar’ kepada komuniti Cina dalam negara ini?”

Untuk menjadi makmur Zuraida yang juga menteri perumahan dan kerajaan tempatan berkata, Malaysia perlu dikelola pemimpin bersifat prihatin kepada seluruh warga tanpa batasan dan pengasingan kaum.

“Tiada lagi ‘abang besar’ yang berhak mendakwa mereka mutlak mewakili kaum tertentu.”

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles