Saturday, June 19, 2021

Maklum kepada polis jika jiran langgar SOP Aidilfitri, kata polis

Polis akan perhebat rondaan dari rumah ke rumah demi memastikan SOP Covid-19 dipatuhi ketika perayaan Aidilfitri.

Other News

Orang ramai  dinasihatkan agar memerhati kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis Perlis Surina Saad.

Beliau berkata maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri 2021.

“Polis Perlis juga akan tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan…termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting.

Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar 5% berbanding hari biasa.

“Peningkatan jumlah kenderaan adalah berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.

“Hari Raya nanti, kita akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Diharapkan agar orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri ini,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles