- Iklan -
Berita

Dr M rayu orang ramai bersabar, tak berkumpul ketika beraya tahun ini

Mahathir turut menggesa orang ramai untuk terus mematuhi SOP demi mengelakkan negara berdepan krisis pandemik seperti India dan Brazil.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad mahu semua rakyat patuhi SOP demi mengelakkan krisis pandemik Covid-19.
Dr Mahathir Mohamad mahu semua rakyat patuhi SOP demi mengelakkan krisis pandemik Covid-19.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad hari ini menggesa seluruh warga Malaysia untuk tidak berkumpul sewaktu menyambut Hari Raya Aidilfitri sebagai langkah mencegah peningkatan penularan Covid-19 selain turut menasihatkan pengambilan vaksin demi melindungi diri.

“Polis tak mampu jaga semua orang, kita yang boleh jaga diri kita. Jika kita tak jaga jumlah pesakit Covid-19 akan meningkat dengan pesatnya.

“Ingat satu orang boleh jangkiti 2,000 lebih orang, kematian pun meningkat sehingga 20 kematian (satu hari). Sebab itu arahan supaya kita tak berkumpul amat penting dipatuhi. Kita tak perlu buat lawatan ke rumah kawan-kawan dan sanak saudara, kerana itu bukan lawatan yang baik.

“Kita perlu bersabar dalam hari raya tahun ini, kita mahu lihat jangkitan dikurangkan dengan tindakan kita,” katanya dalam sebuah ucapan yang disiarkan secara maya melalui Facebook.

Dr Mahathir yang juga ahli Parlimen Langkawi itu turut menasihatkan orang ramai untuk berusaha mendapatkan janji temu vaksinasi bagi melindungi diri.

“Vaksin ini beri perlindungan kepada kita, walau tidak 100% tapi ia beri perlindungan lebih 90% kepada kita.”

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan krisis dahsyat pandemik yang melanda India dan Brazil boleh berlaku di dalam negara jika langkah perlindungan tidak diambil dan pematuhan SOP diabaikan.

“Ratusan ribu orang dapat jangkitan setiap hari, mereka tidak mampu untuk menjaga dan merawat mereka yang jatuh sakit. Ramai daripada mereka terpaksa dibiarkan begitu saja, dan kebanyakan mereka meninggal dunia.

“Saya minta, saya rayu kepada semua rakyat tak kira kaum, tak kira parti, tak kira apa, saya harap kita dapat kurangkan kemungkinan dijangkiti dengan patuh SOP.

“Kalau boleh kita tinggal di rumah saja,” katanya.

Sabtu lalu, nasihat serupa turut disuarakan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang media mengingatkan orang ramai untuk tidak cuai dan mengabaikan SOP ketika musim perayaan tahun ini.

Noor Hisham turut menyuarakan kebimbangan jika pilihan raya diadakan ketika ini sehingga boleh menyebabkan peningkatan kes seperti apa yang berlaku sewaktu Pilihan Raya Negeri Sabah tahun lalu.

Beliau menyatakan kepentingan ordinan darurat bagi mengelakkan pilihan raya bagi membendung pergerakan dan perhimpunan orang ramai bagi mengelakkan pandemik dahsyat seperti apa yang berlaku di India.