Sunday, October 24, 2021

Tinjauan dapati sebahagian besar belia tidak peduli politik, ahli politik

Belia Malaysia juga didapati terjejas secara langsung dengan pandemik Covid-19 ketika ini.

Other News

Satu tinjauan mengenai belia Malaysia mendapati wujud sikap tidak peduli terhadap politik, sehingga melahirkan pertanyaan apakah langkah menurunkan had mengundi kepada usia 18 tahun akan benar-benar memberikan impak pada pilihan raya umum akan datang.

Tinjauan Merdeka Center menunjukkan lebih dua pertiga belia Malaysia tidak berminat untuk terlibat dalam politik.

Sementara baki 30% lagi yang berminat dengan politik pula terdiri daripada lelaki, kaum Melayu dan yang berpendapatan tinggi.

Tinjauan tersebut melibatkan wawancara melalui telefon bersama 2,520 belia berusia 18 hingga 30 tahun dalam tempoh masa satu bulan antara 19 Februari hingga 20 Mac tahun ini, beberapa hari sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan Undi 18 hanya dapat dilaksanakan pada September 2022.

Responden terdiri daripada kalangan latar belakang kaum yang mencerminkan demografi Malaysia, 71% daripadanya menyelesaikan pendidikan tinggi, sementara sekitar 40% bekerja di sektor swasta dan 28% masih belajar.

Sikap tidak peduli belia terhadap politik itu turut dilihat ketara ketika kebanyakan (78%) berkata politik dan pentadbiran kerajaan adalah “rumit” dan “tidak dapat memahami apa yang sedang berlaku”.

Sebanyak 66% menolak ahli politik dengan menyifatkan mereka “tidak peduli apa yang orang seperti saya fikirkan”.

Merdeka Center turut mendapati daripada hasil tinjauannya rakyat Malaysia dalam kalangan belia terjejas secara langsung disebabkan pandemik Covid-19.

Badan itu turut berkata, menurut responden walaupun “optimis dengan prospek masa depan dan dalam usaha bagi mencapai matlamat-matlamat mereka”, namun tidak menganggap isu-isu berhubung politik dan ahli politik sebagai penting.

“Ini juga menunjukkan kesulitan yang akan dihadapi ahli politik dalam usaha mendekati dan meyakinkan kumpulan ini kerana mereka secara umum menolak ahli politik dan politik,” kata Merdeka Center.

Majoriti belia (45.4%) berkata ekonomi akan menjadi cabaran terbesar yang perlu dihadapi negara ini, diikuti kebimbangan terhadap isu kesihatan ekoran pandemik Covid-19 (3.6%).

Namun, hanya 2% berpendapat politik adalah masalah.

Walaupun demikian, mereka terbahagi setara berhubung pandangan mengenai hala tuju negara, sebahagian 46% bersikap positif mengenai hala tuju negara ketika ini.

Sementara 42% lagi berkata negara kini menuju ke arah hala tuju yang salah dengan memberikan alasan ketidakstabilan politik dan keadaan ekonomi yang melanda negara ketika ini.

Walaupun sentimen terhadap politik didapati tidak memberangsangkan, sebahagian besar daripada yang diwawancara atau lebih dari 80% responden berkata mereka yakin dapat mencapai matlamat diimpikan dan yakin masih ada prospek masa depan.

Sementara itu, sukan dan hiburan tetap menjadi minat utama belia (56%), terutama dalam bidang e-games (8%).

Jumlah peratusan itu lebih tinggi daripada pendidikan (6%).

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles