- Iklan -
Berita

Ku Li gagal tarik ahli Parlimen Umno tumbangkan PN, kata Dr Mahathir

Mahathir berkata tiada seorang pun ahli Parlimen Umno mahu meninggalkan jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bekerjasama bagi menjatuhkan Perikatan Nasional.
Dr Mahathir Mohamad dan Tengku Razaleigh Hamzah bekerjasama bagi menjatuhkan Perikatan Nasional.

Bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad berkata, Tengku Razaleigh Hamzah gagal untuk menarik ahli-ahli Parlimen Umno untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Mahathir berkata, beliau bekerjasama dengan ahli Parlimen Gua Musang yang dikenali sebagai Ku Li itu adalah untuk menumbangkan kerajaan PN supaya perdana menteri baru dapat dilantik.

“Tengku Razaliegh ini ada pengaruh dalam Umno, kalau dia boleh tarik dua tiga orang keluar (sokongan) seperti dia… jatuh kerajaan tetapi dia tidak berjaya tarik. Tiada siapa pun nak tinggal jawatan lumayan ini,” katanya dalam wawancara bersama portal Malaysiapost.

“Kawan dia atau orang yang dekat dengan dia tiada seorang pun, jadi dia tinggal seorang sahaja.”

Disember lalu, Razaleigh yang juga pengerusi Jemaah Penasihat Umno menarik sokongan beliau kepada kerajaan PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan alasan kerajaan tidak mempunyai keabsahan.

Kerajaan PN ditubuhkan selepas Pakatan Harapan (PH) tumbang tahun lalu selepas Bersatu meninggalkan gabungan itu bersama-sama dengan sekumpulan ahli-ahli Parlimen PKR.

Ahli-ahli Parlimen Umno antara yang menyokong penubuhan kerajaan PN.

Razaleigh yang juga bekas menteri kewangan juga muncul pada sidang media khas bersama Mahathir, sehari sebelum bacaan kali ketiga Belanjawan 2021, sebagai usaha terakhir untuk menggagalkan kelulusannya di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, usaha itu gagal apabila Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat, selepas bacaan kali ketiga diputuskan menerusi undi belah bahagian menyaksikan 111 wakil rakyat menyokong, 108 menolak dan satu tidak hadir.

Mahathir berkata, Razaleigh gagal menarik sokongan ahli-ahli Parlimen Umno kerana tidak ada yang sanggup meninggalkan jawatan.

“Jadi saya bersama dengan dia kerana dia kata boleh tarik sebahagian orang Umno tetapi tiada orang Umno nak keluar. Kalau keluar habislah duit kerana perjuangan mereka adalah duit,” katanya.