- Iklan -
Berita

Operasi bazar Ramadan Kuala Lumpur hanya dibenar 5 jam

Bazar Aidilfitri pula hanya dibenarkan beroperasi selama 12 jam dari 10 pagi hingga 10 malam.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Peniaga lauk menyusun barang jualan diatas meja di bazaar Ramadan Kampung Baru. Para peniaga hanya dibenarkan membuka gerai mereka dari 3 petang hingga 8 malam.
Peniaga lauk menyusun barang jualan diatas meja di bazaar Ramadan Kampung Baru. Para peniaga hanya dibenarkan membuka gerai mereka dari 3 petang hingga 8 malam.

Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa hari ini berkata bazar Ramadan di Kuala Lumpur dibenarkan dengan tempoh operasinya selama lima jam bermula pukul 3 petang hingga 8 malam.

Dalam sidang media hari ini, Annuar berkata perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan ketika ini adalah untuk meminimumkan pergerakan orang ramai sempena musim perayaan.

“Tempoh ini orang ramai banyak bergerak, di kita mohon kefahaman untuk orang ramai batalkan aktiviti sosial mereka.

“Namun, aktiviti ekonomi masih boleh dijalankan,” jelasnya sambil menambah ia termasuk bazar Ramadan dan Aidilfitri.

Menurut Annuar, persediaan operasi bazar boleh dimulakan lebih awal. Namun ia hanya dibenarkan menerima kunjungan orang ramai bermula pukul 3 petang.

Annuar turut menambah bazar Aidilfitri juga dibenarkan untuk beroperasi sepanjang PKP 3.0 kali ini. Tempoh operasi bagi bazar Aidilfitri dihadkan selama 12 jam.

“Bazar Ramadan boleh dibuka dari 3 petang hingga 8 malam.

“Sementara bazar Aidilfitri boleh dibuka selama 12 jam, bermula 10 pagi hingga 10 malam,”

Menurut Annuar peniaga mengadu kepada kementerian memohon untuk dipanjangkan tempoh tersebut, namun melihat rekod sebelum ini orang ramai berpusu-pusu ke bazar selepas waktu Isyak.

“Saya sendiri tengok terlalu ramai orang datang. Jadi kita tak dapat benarkan operasi sehingga 2 pagi.”

Ibu negara Kuala Lumpur diletakkan di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula esok sehingga 20 Mei depan.

Pengumuman terbaru pelaksanaan PKP kali ini adalah berikutan kenaikan jumlah kes baru Covid-19, Selangor menjadi negeri yang merekodkan kes harian tertinggi mendahului negeri-negeri lain.