- Iklan -
Berita

Guna semula kit ujian swab, polis tahan pekerja Kimia Farma

Syarikat farmaseutikal Indonesia itu turut memecat pekerja-pekerjanya yang ditahan ekoran kes tersebut.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Seorang warga asing mendapatkan khidmat ujian saringan Covid19 di Taman Connaught, Cheras.
Seorang warga asing mendapatkan khidmat ujian saringan Covid19 di Taman Connaught, Cheras.

Beberapa pekerja sebuah syarikat farmaseutikal ditahan di Indonesia kerana didakwa membasuh dan menjual alat swab hidung Covid-19.

Lebih dari 9,000 penumpang kapal terbang di sebuah lapangan terbang di Medan dikatakan diperiksa dan diuji dengan alat swab hidung tersebut, kata polis.

Polis turut mempercayai penipuan tersebut bermula akhir Disember lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu (KNO) di Medan, Sumatera Utara.

Ujian swab hidung adalah salah satu rutin ketika pemeriksaan Covid-19.

Ia diamalkan oleh seluruh dunia ketika pandemik.

Penumpang disyaratkan negatif Covid-19 sebelum memulakan penerbangan, KNO menawarkan pilihan untuk ujian swab dijalankan di premisnya.

Ujian tersebut dilaporkan menggunakan kit ujian swab yang dibekalkan Kimia Farma.

Ekoran aduan daripada penumpang mereka mendapat hasil keputusan ujian positif palsu, pihak polis menghantar pegawai untuk menyiasat perkara tersebut dengan menyamar sebagai salah seorang penumpang kapal terbang minggu lalu, lapor portal berita Detik.

Ketika polis tersebut menjalani ujian dan mendapat keputusan positif, polis menyerbu premis itu dan menemui kit ujian swab yang digunakan semula selepas ia digunakan sebelum ini.

Syarikat milik kerajaan Kimia Farma ketika ini sedang berdepan tindakan undang-undang oleh penumpang yang terjejas akibat perbuatan tersebut.

Minggu lalu, lima pekerja Kimia Farma termasuk pengurus syarikat itu di Medan ditahan.

Kesemua suspek didakwa melanggar undang-undang kesihatan dan kepenggunaan dengan melakukan ujian Covid-19 dengan barangan yang sudah digunakan bagi tujuan jualan.

Polis juga sedang menyiasat sama ada sejumlah 1.8 bilion rupiah (RM514,790) yang dianggarkan sebagai keuntungan dari perbuatan suspek digunakan untuk mendanai sebuah rumah mewah yang dimiliki salah seorang suspek.

Dalam pada itu, Kimia Farma memecat kakitangan yang dituduh terlibat dalam kes tersebut dan memberikan jaminan untuk mengetatkan kawalan dalam syarikatnya.