- Iklan -
Berita

Unicef rayu dana bantuan disalur kepada India dalam hadapi krisis Covid-19

Unicef berkata Malaysia tidak boleh membiarkan India berjuang sendirian dalam menghadapi krisis buruk Covid-19 di negara itu.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Krisis Covid-19 di India semakin buruk ketika sistem hospital dan pusat kesihatannya mengalami kekurangan kelengkapan bagi menghadapi kes jangkitan yang melonjak secara drastik. Gambar: AP
Krisis Covid-19 di India semakin buruk ketika sistem hospital dan pusat kesihatannya mengalami kekurangan kelengkapan bagi menghadapi kes jangkitan yang melonjak secara drastik. Gambar: AP

Badan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia hari ini menggesa supaya bantuan dana disalurkan kepada India bagi membantu usaha-usaha membendung penularan dahsyat Covid-19 di negara itu.

Gesaan itu dilancarkan dalam usaha rayuannya untuk mendapatkan dana khusus bagi menyalurkan bekalan alat bantuan oksigen, alatan ujian pengesanan jangkitan, dan beberapa peralatan kesihatan yang lain kepada India.

“Unicef sudah melancarkan rayuan dana bagi membantu India berdepan dengan Covid-19.

“Hospital dan pusat kesihatan di seluruh India kini berhempas pulas untuk menangani jumlah kes yang meningkat naik secara drastik.

“Alat oksigen tak mencukupi untuk semua pesakit, sistem kesihatan di India ketika ini hadapi kesukaran yang amat teruk akibat gelombang Covid-19 yang dahsyat di negara itu,” kata wakil Unicef di Malaysia, Rashed Mustafa Sarwar.

Menurut beliau Malaysia tidak boleh membiarkan India sendirian dalam usaha membendung dan melawan Covid-19 ketika ini.

“Kita perlu bertindak segera untuk mengelakkan lebih banyak kehilangan nyawa.”

Setakat ini, Unicef membekalkan alat bantuan oksigen dan beberapa kelengkapan kecemasan yang mendesak sebagai respons segera badan tersebut terhadap krisis di India.

“Namun banyak lagi yang perlu dilakukan ketika krisis Covid-19 di negara itu yang terus merebak secara drastik,” katanya.

Semalam, India menambah 357,229 kes baru dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini menjadi 20.3 juta.

Menurut kementerian kesihatannya, kematian turut meningkat sebanyak 3,449 kepada 222,408.

Bagaimanapun, pakar kesihatan menjangka bilangan sebenar kematian jauh lebih tinggi daripada angka rasmi tersebut.

Ketika ini Unicef sedang mengumpulkan sejumlah RM86 juta (AS$21 juta) bagi penghantaran bekalan bantuan termasuk beberapa produk oksigen dan kit ujian Covid-19 sementara RM205 juta (AS$50 juta) bagi program bantuan intervensi Covid-19 di pelbagai sektor.

“Satu unit alat oksiden yang membantu pesakit Covid-19 bernafas berharga RM3200. Dengan adanya sepuluh orang penderma yang ikhlas menyumbang RM320 seorang, ia dapat membantu usaha kami ini.”

Bantuan derma boleh dilakukan secara dalam talian atau penggunaan kod QR: bit.ly/UNICEF-Help-India atau talian hotline: 1300300010.

Sumbangan juga boleh dilakukan melalui akaun Maybank (514329602449) United Nation’s Children Fund Emergency.