- Iklan -
Berita

Sekolah di Selangor diarah tutup bermula esok hingga cuti Aidilfitri

Keputusan tersebut dibuat selepas mengambil maklum hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS).

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Selangot diumumkan berada di bawah status perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula esok. Gambar: Bernama
Selangot diumumkan berada di bawah status perintah kawalan pergerakan (PKP) bermula esok. Gambar: Bernama

Sekolah-sekolah di Selangor diarahkan tutup bermula 6 Mei hingga cuti sempena Aidilfitri bagi membendung pergerakan dalam kalangan masyarakat sejak peningkatan kes harian Covid-19 direkodkan negeri itu kebelakangan ini.

Dalam sebuah kenyataan, Pengarah Pendidikan Selangor Izmi Ismail berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil maklum hasil mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Selangor (JKKNS) yang mengesyorkan supaya sekolah di negeri itu ditutup bermula 6 Mei hingga 12 Mei.

“Mengambil kita bahawa sesi persekolahan secara bersemuka hanya berbaki dua hari, KPM memutuskan agar semua sekolah bawah KPM di negeri Selangor ditutup pada 6 Mei.

“Penutupan sekolah ini akan berterusan sehingga cuti Hari Raya Aidilfitri seperti mana yang diumumkan oleh KPM pada 26 April 2021.

Dalam pada itu, Izmi berkata pergerakan pulang murid asrama sempena hari raya 2021 adalah seperti yang telah dijadualkan pihak sekolah.

“Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan ibu bapa. Pihak sekolah perlu mengekalkan jadual pergerakan pulang yang telah ditetapkan.”

Semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri mengumumkan enam daerah di Selangor akan diletakkan di bawah status perintah kawalan pergerakan (PKP).

Enam daerah tersebut termasuk Hulu Langat, Petaling, Gombak, Kelang, Kuala Langat, serta Sepang berkuatkuasa 6 Mei hingga 17 Mei.

Tiga daerah lain yang tidak terlibat iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam, dan Hulu Selangor masih berada di bawah PKP bersyarat (PKPB).