- Iklan -
Berita

Jaringan Prihatin perluas akses internet, manfaatkan 8.5 juta golongan B40

Malaysia komited untuk menambahbaik kesalinghubungan internet dalam negara dengan sasaran minimum 70% di seluruh negara seperti yang disarankan PBB.

Farhira Farudin
1 minit bacaan
Kongsi
Pandemik Covid-19 yang melanda negara memaksa pelajar sama ada di universiti dan sekolah menggunakan internet dan peranti dalam pembelajaran mereka. Gambar: Bernama
Pandemik Covid-19 yang melanda negara memaksa pelajar sama ada di universiti dan sekolah menggunakan internet dan peranti dalam pembelajaran mereka. Gambar: Bernama

Kerajaan hari ini mengumumkan inisiatif kerajaan bagi memperkasa kemudahan peranti dan akses internet sekali gus meningkatkan daya saing negara melalui pengurangan jurang digital kepada 8.5 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mulai hari ini.

Inisiatif yang dinamakan Jaringan Prihatin itu merupakan kerjasama kerajaan bersama industri telekomunikasi bagi memastikan kumpulan B40 dapat mencapai tahap celik digital.

Inisiatif di bawah Belanjawan 2021 tersebut turut memberi peluang kepada kumpulan B40 untuk membeli peranti telekomunikasi atau pelan data komunikasi.

Program yang dilancarkan secara maya oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu akan berlangsung selama setahun, bermula hari ini sehingga 31 Julai 2022.

Menurut Muhyiddin, pandemik telah membuktikan kepentingan dunia digital dalam kehidupan seharian, namun masih ramai rakyat Malaysia yang masih tersisih dan ketinggalan dalam arus digitalisasi.

Justeru, beliau berkata Malaysia amat komited untuk menambahbaik kesalinghubungan internet dalam negara dengan sasaran minimum 70% di seluruh negara seperti yang disarankan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sudah tiba masanya untuk akses internet menjadi keperluan asas di negara kita, seperti air dan elektrik bagi segenap lapisan masyarakat.

“Insiaitif ini dijangka dapat memanfaatkan 8.5 juta kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar serta menerima pelan broadband internet,” katanya hari ini.

Projek berjumlah RM3.5 billion itu menerima peruntukan RM2 billion daripada kerajaan dan sumbangan RM1.5 billion daripada syarikat telekomunikasi dalam bentuk pelan data internet percuma.