- Iklan -
Berita

PRK DUN Melor di Kelantan ditangguhkan

SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya'kub berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN itu, semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
SPR menangguhkan pilihan raya kecil di Kelantan berdasarkan ordinan darurat yang dilaksanakan negara ketika ini. Gambar: Bernama
SPR menangguhkan pilihan raya kecil di Kelantan berdasarkan ordinan darurat yang dilaksanakan negara ketika ini. Gambar: Bernama

Pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melor, Kelantan yang sepatutnya diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu Md Yusnan Yusof ditangguhkan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Ikmalrudin Ishak.

“Memandangkan proklamasi darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 11 Januari 2021 [P.U.(A) 7/2021] dan peruntukan Seksyen 13 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 berkaitan pilihan raya DUN yang sedang berkuat kuasa maka PRK bagi DUN N.23 Melor, Kelantan ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Kelantan Abdullah Ya’kub berhubung kekosongan luar jangka kerusi DUN itu, semalam.

Perkara 46(5) Bahagian Pertama Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan telah memperuntukkan yang kekosongan sesuatu kerusi DUN Kelantan perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut.

Semalam, Abdullah mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Melor susulan kematian Md Yusnan pada 30 April lepas.

Md Yusnan, 53, meninggal dunia di rumahnya di Melor, Kelantan pada 2.28 pagi akibat serangan jantung.

Beliau memenangi kerusi DUN Melor bagi dua penggal berturut-turut iaitu pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan ke-14.