- Iklan -
Berita

Kes positif Covid-19 di India cecah 20 juta

India berdepan krisis dahsyat peningkatan kes Covid-19 ketika negara-negara Eropah mula membuka semula sektor ekonomi dan negaranya kepada pelancong.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Tempat pembakaran mayat mangsa Covid-19 di India. Krisis Covid-19 di India menarik tumpuan dunia ketika ini dengan catatan kes yang terus meningkat sehingga mencecah 20 juta. Gambar: AP
Tempat pembakaran mayat mangsa Covid-19 di India. Krisis Covid-19 di India menarik tumpuan dunia ketika ini dengan catatan kes yang terus meningkat sehingga mencecah 20 juta. Gambar: AP

Jumlah kumulatif kes Covid-19 di India mencecah angka 20 juta pada Selasa ketika Eropah dan beberapa negara kaya lain di dunia mula membuka semula sektor ekonomi di negara mereka secara berperingkat.

Program besar-besaran vaksinasi penduduk telah berjaya membantu menurunkan kes baru di negara-negara Eropah. Kesatuan Eropah (EU) bahkan sedang mempertimbangkan untuk membenarkan pelancong asing yang sudah divaksin masuk ke negara-negara benua tersebut.

Dalam pada itu, India menambah 357,229 kes baru dalam tempoh 24 jam yang lalu, menjadikan jumlah kes terkumpul setakat ini menjadi 20.3 juta.

Menurut kementerian kesihatannya, kematian turut meningkat sebanyak 3,449 kepada 222,408.

Bagaimanapun, pakar kesihatan menjangka bilangan sebenar kematian jauh lebih tinggi daripada angka rasmi tersebut.

India mencatat sekitar lapan juta kes baru sejak akhir Mac dalam lonjakan kes akibat penularan varian Covid-19 ketika kerajaan membenarkan kebanyakan aktiviti disambung semula selain turut membenarkan upacara besar keagamaan dan politik.

Peningkatan dahsyat kes di negara itu menjadi cabaran kepada sektor kesihatan India yang kekurangan dana sehingga menyebabkan katil hospital penuh, selain kekurangan ubat-ubatan dan alat bantuan oksigen.

Ekoran itu, ramai pesakit direkodkan meninggal dunia di luar klinik yang sesak di New Delhi dan beberapa tempat lain.

Bagaimanapun, jumlah kes baru harian telah menurun dalam beberapa hari kebelakangan ini dengan catatan tertinggi sebanyak 402,000 pada Jumaat lalu.

“Sekiranya kes dan kematian setiap hari dianalisis, ada isyarat awal ia menunjukkan trend ke arah positif,” kata pegawai kanan kementerian kesihatan Lav Aggarwal kepada wartawan pada Isnin.

“Namun ini hanyalah isyarat awal. Ada keperluan untuk menganalisisnya dengan lebih lanjut dan terus memantaunya,” tambahnya.