Saturday, June 19, 2021

Denmark sekat penggunaan vaksin J&J dalam program vaksinasi

Sebelum ini, Denmark turut menyekat penggunaan vaksin AstraZeneca dalam program vaksinasi kebangsaannya.

Other News

Denmark mengumumkan akan menyekat penggunaan vaksin Covid-19 keluaran Johnson & Johnson (J&J) dalam program imunisasi kebangsaannya ekoran kebimbangan berhubung isu darah beku selepas langkah sama diambil terhadap vaksin AstraZeneca.

Pihak berkuasa kesihatan Denmark memaklumkan bahawa Agensi Perubatan Eropah (EMA) telah menyimpulkan wujud kaitan antara kes darah beku kronik yang jarang berlaku dengan vaksin J&J.

Sebelum ini EMA dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan vaksin J&J digunakan kerana manfaatnya melebihi risiko.

Bagaimanapun kerajaan Denmark berkata, situasi epidemiologi semasa di negara Scandinavia itu menunjukkan tiada keperluan untuk ia menggunakan vaksin J&J dan akan sepenuhnya bergantung dengan vaksin Pfizer/BioNTech dan Moderna.

“Pihak berkuasa kesihatan Denmark memutuskan manfaat penggunaan vaksin Covid-19 keluaran J&J tidak melebihi risiko kemungkinan kesan sampingannya terhadap penerima vaksin itu.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa kesihatan Denmark akan meneruskan program imunisasi besar-besaran terhadap Covid-19 tanpa vaksin J&J,” katanya dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa Denmark juga turut memaklumkan bahawa setakat ini, epidemik di negara itu terkawal dan program agihan vaksin menggunakan bekalan vaksin sedia ada, sudah berada pada tahap memuaskan.

Bagaimanapun, Denmark mengakui keputusan menolak penggunaan vaksin J&J memberi maksud bahawa kempen imunisasi di negara itu akan tertangguh selama empat minggu.

Ia menjangka semua individu berusia 16 tahun ke atas akan selesai menerima vaksin menjelang hujung Ogos depan.

Pada pertengahan bulan lalu, Denmark mengumumkan tidak akan menggunakan vaksin AstraZeneca selepas menangguhkan penggunaannya pada Mac atas kebimbangan sama.

Ia menjadikan Denmark sebagai negara pertama di Eropah yang menyekat penggunaan vaksin AstraZeneca.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles