Saturday, September 18, 2021

6 daerah di Selangor dikenakan PKP

Tiga daerah lagi masih berada di bawah status PKPB.

Other News

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri berkata Majlis Keselamatan Negara hari ini menetapkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) ke atas enam dari sembilan daerah di Selangor.

Enam daerah tersebut termasuk Hulu Langat, Petaling, Gombak, Kelang, Kuala Langat, serta Sepang berkuatkuasa 6 Mei hingga 17 Mei.

Tiga daerah lain yang tidak terlibat iaitu Kuala Selangor, Sabak Bernam, dan Hulu Selangor masih berada di bawah PKP bersyarat (PKPB).

Ismail dalam sidang media hari ini turut berkata penduduk di enam daerah tersebut tidak dibenarkan untuk mengadakan aktiviti sosial dan prosedur operasi standard (SOP) untuk PKP yang dilaksanakan adalah mengikut SOP PKP sebelum ini atau serupa seperti sekatan yang dijalankan di Kelantan ketika ini.

PKP pertama kali dilaksanakan Mac tahun lalu selepas pandemik Covid-19 melanda negara dan dunia.

Dalam fasa PKP, sektor ekonomi utama sahaja yang dibenarkan beroperasi, selain penduduk hanya dibenarkan keluar bagi membeli atau mendapatkan barang keperluan, dan mendapatkan rawatan kesihatan dan perubatan serta menjalankan urusan rasmi kerajaan dan tugas kehakiman.

Antara larangan dalam fasa ini termasuk tidak dibenarkan rentas negeri dan daerah selain premis-premis perniagaan hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 6 pagi hingga 10 malam.

Dalam pada itu, beliau turut berkata operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Namun, pasar tani, pasar awam dan pasar minggu boleh beroperasi dari pukul 7 pagi hingga 2 petang.

Berhubung SOP sambutan Hari Raya Aidilfitri, Ismail berkata kesemua daerah di bawah status PKP, PKP bersyarat, dan PKP pemulihan tidak dibenarkan mengadakan majlis rumah terbuka sama sekali.

Bagaimanapun, katanya, untuk hari raya pertama, orang ramai boleh mengadakan aktiviti ziarah ke rumah keluarga dengan kapasiti 15 orang sahaja dalam satu masa.

Tuan rumah juga digalakkan untuk memeriksa suhu badan dan menyediakan daftar tetamu dan kod QR bagi memudahkan pengesanan kontak rapat.

Ismail turut berkata jamuan makan selepas solat hari raya di masjid atau surau adalah tidak dibenarkan sama sekali.

Pengumuman hari ini menandakan kali ketiga PKP dilaksanakan di Selangor selepas PKP 2.0 dilaksanakan pada awal tahun ini ketika gelombang peningkatan kes ketara sehingga empat digit di seluruh negara.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles