- Iklan -
Berita

Penerbangan dari India sejak 28 April hanya kargo, tiada penumpang, kata menteri

Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan barangan.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata sejak 28 April, kerajaan menetapkan semua penerbangan dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia. Gambar: Bernama
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata sejak 28 April, kerajaan menetapkan semua penerbangan dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia. Gambar: Bernama

Kementerian pengangkutan hari ini berkata semua penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) yang tular di media sosial merupakan penerbangan kargo selepas tular dakwaan wujud penumpang dari India dalam penerbangan tersebut.

Menurut menterinya, Wee Ka Siong berkata sejak 28 April, kerajaan menetapkan semua penerbangan dari dan ke negara India dilarang memasuki Malaysia.

“Hanya penerbangan kargo yang akan dibenarkan pada masa ini.

“Penerbangan pesawat penumpang juga kosong, dan digunakan untuk membawa muatan yang kebanyakannya adalah barangan farmasi, ubat-ubatan, telefon bimbit, komponen elektrik dan bungkusan kurier,” katanya.

Semalam, tular dakwaan empat penerbangan MH dari India mendarat di KLIA pada 1 Mei lalu.

Empat penerbangan tersebut termasuk dari Delhi, Bangaluru, Mumbai dan Chennai.

India menghadapi gelombang dahsyat kes jangkitan Covid-19 menyaksikan lebih 1,100,000 kes dicatatkan setakat ini sehingga membimbangkan seluruh dunia dengan varian Covid-19 yang lebih kebal kepada antibodi.

Justeru, Wee berkata, kerajaan melarang kemasukan atau transit pelancong bukan warganegara ketika ini selain turut berkata pekerja asing yang memegang PLKS, pekerja dan pelajar dari India juga akan dilarang memasuki negara.

“Semakan dengan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah juga mengesahkan bahawa kes seorang pemegang pas pekerja asing warga India yang memasuki Malaysia adalah berlaku lebih awal (dari 28 April) iaitu pada 10 April.

“Walaupun saya sangat kesal dengan penyebaran beberapa maklumat yang salah mengenai status penerbangan ini, namun saya memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan begitu prihatin dan peka dengan situasi di negara dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan.”