- Iklan -
Berita

Hamzah tak hadir dalam majlis serah tugas Hamid kepada Acryl

Hamzah yang dijemput sebagai tetamu utama majlis dikatakan terpaksa hadir mesyuarat MKN.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Acryl Sani Abdullah Sani rasmi menjadi ketua polis negara dalam majlis serahan tugas hari ini.
Acryl Sani Abdullah Sani rasmi menjadi ketua polis negara dalam majlis serahan tugas hari ini.

Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin tidak hadir selepas dijemput sebagai tetamu utama dalam acara rasmi Mes Pegawai Kanan Bukit Aman bagi penyerahan tugas kepada ketua polis negara yang baru, Acryl Sani Abdullah Sani.

Acara tersebut turut dihadiri Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador selepas tiga hari lepas mengkritik menteri itu secara terbuka berhubung isu campur tangan terhadap urusan polis.

Hamzah yang diwakili timbalannya, Ismail Mohamed Said dalam acara itu turut berkata menteri dalam negeri terpaksa hadir ke mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Pada sidang media selepas acara itu, Hamid menyatakan keyakinannya terhadap penggantinya, Acryl.

Ketika ditanya berhubung kritikan beliau mengenai ahli politik yang mencampuri urusan polis, Hamid berkata beliau akan menyerahkan perkara tersebut kepada pegawai-pegawai pasukan polis untuk melakukan siasatan susulan mengenainya.

“Tak semestinya saya lapor pada polis. Ia adalah apa yang dinasihatkan Yang Berhormat menteri. Jika ada kes, saya serahkan kepada pertimbangan terbaik Acryl.”

Dalam pada itu, Hamid menjamin beliau tidak akan mencampuri urusan polis sepanjang persaraan beliau.

“Saya akan senyap dan buat kerja saya sendiri. Saya yakin Acryl boleh teruskan. Dan dia akan lebih berjaya.

“Sehinggalah ada orang yang provok saya,” kata Hamid sambil menambah beliau mahu sibukkan jadualnya dengan aktiviti berkebun.

Sementara itu, Acryl menyifatkan tugas baru beliau itu sebagai “tanggungjawab besar yang diletakkan ke atas bahu saya”.

Pada Jumaat, Hamid memberi ucapan yang keras ketika ucapan terakhir persaraannya. Beliau menyifatkan Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin sebagai angkuh dan mencampuri urusan polis dalam pelantikan pegawai tinggi polis.

Beliau turut mempersoalkan kepimpinan Hamzah dalam Suruhanjaya Pasukan Polis (SPP) yang menentukan pemindahan dan kenaikan jawatan pegawai polis.

Dalam ucapan yang sama, beliau turut mempertikaikan peranan SPP dengan mengatakan ia tidak meneliti aduan-aduan mengenai salah laku dalam pasukan polis.