- Iklan -
Berita

Perniagaan sukar bertahan disebabkan penutupan jalan akibat pembinaan SUKE

Hampir tidak ada lagi pelanggan yang datang berkunjung ke kawasan itu lagi kerana laluan alternatif terlalu jauh dan menyukarkan.

Ahmad Mustakim Zulkifli
3 minit bacaan
Kongsi
Antara premis di Damai 23, Cheras yang ditutup akibat penutupan jalan SUKE.
Antara premis di Damai 23, Cheras yang ditutup akibat penutupan jalan SUKE.

Beberapa perniagaan di Damai 23, sebuah kawasan di Alam Damai, Cheras, mungkin terpaksa menutup perniagaan selepas jumlah pelanggan semakin berkurangan berikutan beberapa penutupan jalan oleh pemaju projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).

Bulan lalu, Jalan Alam Damai dan Jalan 1/44A berhampiran Taman Len Seng ditutup berikutan kemalangan maut berhampiran Alam Damai yang meragut nyawa tiga pekerja binaan dari China.

Hari ini, jalan-jalan tersebut masih ditutup dan perniagaan mula dilihat terjejas dengan keputusan penutupan jalan-jalan itu.

Walaupun terdapat jalan alternatif untuk masuk ke kawasan tersebut, jumlah pelanggan dilihat tetap tidak memberansangkan seperti sebelum ini.

Beberapa perniagaan turut dilihat ditutup kerana tidak dapat bertahan dengan keadaan itu.

Wakil peniaga-peniaga di Damai 23, Kenny Lin berkata peniaga di kawasan itu terjejas teruk disebabkan penutupan jalan-jalan utama sementara laluan alternatif untuk berkunjung ke kawasan itu adalah lebih jauh.

“Orang-orang dari Taman Len Seng, yang asalnya hanya berjarak 500m, harus melalui Persiaran Alam Damai, sekitar 4km jauhnya, sebelum mereka dapat sampai ke tempat perniagaan kami.

“Disebabkan itu, mereka lebih suka berbelanja di tempat lain,” katanya dan menambah aplikasi navigasi seperti Waze turut sukar menetapkan kedudukan Damai 23 pada ketika ini.

Kedai gunting rambut kosong tanpa pelanggan di Damai 23, Cheras.

Tempat letak kenderaan juga turut menjadi masalah tambahan kepada peniaga sehingga terpaksa membuat papan tanda untuk memastikan pelanggan tidak sesat untuk berkunjung ke premis mereka.

Semasa lawatan MalaysiaNow ke Damai 23, beberapa pekerja kedai gunting rambut dilihat sedang mengemas barang.

Tukang gunting rambut, Waqas berkata tidak lagi mampu membayar sewa RM1,700 sebulan.

“Sebelum ini, pelanggan kami kena beratur tunggu giliran mereka di luar.

“Sekarang, kami hanya boleh dapat dua hingga tiga pelanggan setiap hari,” katanya kepada MalaysiaNow.

Keluhan serupa juga disuarakan pemilik perniagaan lain di kawasan itu.

Dr Prashan-Gunaseharan, yang mengusahakan klinik di sana sejak enam tahun lalu berkata tidak pernah menghadapi masalah seperti itu sebelum pembinaan lebuh raya tersebut dilaksanakan.

Sebelum ini, dia merawat sekurang-kurangnya 40 pesakit setiap hari.

Tetapi pada hari ini, dia bersyukur jika premisnya dikunjungi lima hingga 10 orang pesakit.

Bagaimanapun katanya, untuk berpindah ke lokasi lain akan turut menimbulkan pelbagai masalah kerana harus memperbaharui lesennya semula yang mengambil masa sebulan atau dua bulan.

Dia memberitahu MalaysiaNow kedai serbaneka di sebelah kliniknya juga terpaksa ditutup kerana tidak ada lagi pelanggan datang.

Philip Siow, yang mengusahakan sebuah farmasi berkata perniagaannya mengalami penurunan jualan sebanyak 70% akibat penutupan jalan.

“Penutupan itu bermaksud tidak ada pelanggan baru yang masuk. Bahkan pemandu Grab sukar nak datang ke sini. Oleh itu, kami terpaksa bergantung dengan pelanggan biasa,” tambahnya.

Antara restoran yang terpaksa ditutup akibat penutupan jalan SUKE di Damai 23, Cheras.

MalaysiaNow mendapati kadar sewa di kawasan Damai 23 adalah antara RM5,000 hingga RM7,000 sebulan.

Ramai pemilik perniagaan menyuarakan kekecewaan mereka dengan kelewatan dalam kerja-kerja pembinaan berikutan penutupan jalan tersebut.

“Kami tidak diberitahu tarikh bila mereka akan buka jalan semula, atau jangka masa projek itu selesai,” kata pemilik perniagaan lain.

Tan Ooi Hock membuka cawangan kedua kedai alat ganti kenderaannya di Damai 23 dengan harapan dapat meningkatkan jualan.

Malangnya, ketika hari cawangan kedainya dibuka, jalan untuk ke sana pula ditutup.

“Saya pilih untuk buka cawangan kedua kerana banyak pelanggan saya dari daerah ini. Saya rasa lebih mudah untuk mereka ke sini daripada terpaksa ke Sungai Besi. Namun sejak dibuka, hampir tidak ada pelanggan datang,” katanya .

Lin berkata pemilik perniagaan meminta pampasan dari SUKE untuk membayar sewa dan gaji mereka namun diberitahu pihak pemaju lebuh raya itu untuk berunding dengan peguam mereka.

“Kami sedang pertimbangkan untuk naikkan jumlah tuntutan kerana kerugian kami terus meningkat,” tambahnya.