- Iklan -
Berita

Pakar beri amaran penemuan varian Covid-19 ‘lebih kuat’ di Sarawak

Varian P3 pertama kali ditemui di Filipina, mutasi yang dikaitkan dengan varian-varian yang membawa maut di Afrika Selatan dan United Kingdom.

Nur Shazreena Ali
2 minit bacaan
Kongsi
Beberapa pengkaji di Universiti Malaysia Sarawak mengesahkan penemuan varian P3 Covid-19 yang lebih kebal kepada vaksin sekali gus mengingatkan seluruh warga untuk kekal berjaga-jaga dan mematuhi SOP bagi membantu pihak berkuasa melandaikan peningkatan kes harian di seluruhan negara. Gambar: Bernama
Beberapa pengkaji di Universiti Malaysia Sarawak mengesahkan penemuan varian P3 Covid-19 yang lebih kebal kepada vaksin sekali gus mengingatkan seluruh warga untuk kekal berjaga-jaga dan mematuhi SOP bagi membantu pihak berkuasa melandaikan peningkatan kes harian di seluruhan negara. Gambar: Bernama

Beberapa pengkaji di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mengesahkan penemuan varian Covid-19 yang lebih kebal kepada vaksin sekali gus mengingatkan seluruh warga untuk kekal berjaga-jaga dan mematuhi SOP bagi membantu pihak berkuasa melandaikan peningkatan kes harian di seluruh negara.

Pakar-pakar dari Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti (IHCM) Unimas mengesahkan varian B.1.1.28.3 atau P3 telah ditemui dalam lapan sampel yang diambil di Kuching dan Samarahan minggu lalu.

Varian P3 pertama kali dilaporkan ditemui di Filipina pada mac, dan ia dikenal pasti dalam beberapa kes import di United Kingdom (UK).

Pengarah IHCM Dr David Perera berkata varian tersebut memiliki risiko jangkitan lebih besar dan mampu mengelak respons antibodi terhadapnya.

“Kami gesa orang ramai untuk mematuhi SOP dan garis panduan yang telah ditetapkan, terutama pemakaian pelitup muka, sentiasa pastikan kebersihan tangan dan penjarakan fizikal demi mencapai imuniti kelompok melalui program vaksinasi kerajaan.

“Usaha-usaha ini akan bantu kita memperlahankan penularan virus dan mengurangkan kemungkinan varian-varian baru ini bergerak menjangkiti orang ramai,” kata Perera.

Ahli epidemiologi Sarawak Dr Andrew Kiyu Dawie Usop berkata varian P3 boleh menjadi pandemik kerana ia boleh menular dengan lebih cepat daripada versi yang asal.

Virus-virus yang berubah dengan mutasi dan varian baru virus itu dijangka akan merebak jika ia tidak segera dibendung.

Kiyu berkata bahawa perubahan kepada protein pepaku adalah titik penting para saintis memulakan berusaha untuk meneliti mutasi virus.

“Mutasi itu dapat menimbulkan ancaman yang lebih besar kepada kehidupan manusia, hakikatnya virus akan sentiasa berubah-ubah.

“Seperti manusia melahirkan anak, setiap kali mereka membiak, ‘anak-anak’ (virus selepas mutasi) akan kelihatan berbeza daripada ibu dan ayah (virus sebelum mutasi).

“Setiap kali virus bermutasi, varian virus baru akan muncul. Ini bererti setiap perubahan kepada protein pepaku akan memungkinkan virus itu masuk ke sel manusia dan berfungsi dengan lebih cekap,” jelasnya.

Kiyu berkata varian P3 boleh menular kerana dimutasi dengan dua gen virus yang berbeza.

“Virus semuanya berbeza, dalam kata yang lain, ia boleh menjadi lebih kuat. Sebagai contoh, ia boleh mengelak daripada respons antibodi. Walau bagaimanapun, beberapa mutasi tidak berikan kesan apa-apa. Sebaliknya, jika mutasi itu menjadikan virus lebih efektif melawan vaksin ia akan dapat menyerang sel manusia dengan mudah. ​​”

Beliau berkata bahawa varian P3 dikenalpasti dari dua mutasi utama, N501Y dan E484K, masing-masing berkongsi gen mutasi varian UK (B.1.1.7) dan Afrika Selatan (B.1.351) yang boleh membawa maut.

“Mutasi ini mungkin tak mampu memberikan perlindungan penuh daripada jangkitan sekali lagi kerana ia mampu melepaskan diri dari antibodi. Itulah sebabnya vaksin yang ada sekarang tidak boleh melawannya,” tambahnya.