Sunday, October 17, 2021

LLM pastikan syarikat konsesi tol berikan perkhidmatan terbaik

Ia susulan langkah kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi lebuh raya bertol di negara ini, yang akan memberi faedah langsung kepada pengguna.

Other News

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) akan memastikan kesemua syarikat konsesi lebuh raya melaksanakan obligasi mereka untuk memberikan mutu perkhidmatan terbaik demi kepentingan pengguna.

Ketua pengarahnya, Mohd Shuhaimi Hassan berkata ia susulan langkah kerajaan menangguhkan kenaikan kadar tol bagi lebuh raya bertol di negara ini, yang akan memberi faedah langsung kepada pengguna.

“Selaras dengan dasar dan keputusan kerajaan ini, pengguna akan terus menikmati kadar tol yang lebih rendah berbanding kadar tol seperti dalam Perjanjian Konsesi.

“Di samping itu, pengguna juga akan menikmati kemudahan dan perkhidmatan berkualiti yang disediakan di sepanjang lebuh raya,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur hari ini.

Semalam, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof dipetik sebagai berkata kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini, antaranya melibatkan tiga lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS); Lebuhraya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2) yang sepatutnya mendapat kenaikan mulai 1 Jan 2021.

Selain itu, penangguhan kenaikan tol melibatkan 21 lebuh raya sebelum ini untuk semua kelas kenderaan diteruskan membabitkan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS); Lebuhraya Hubungan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA); Lebuhraya Utara Selatan – Hubungan Tengah (ELITE); Lebuhraya Cheras – Kajang (GRANDSAGA) (v) E8: Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak (KLK).

Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1); Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA); Lebuhraya Damansara Puchong (LDP); Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA); Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE); Lebuhraya Sistem Lingkaran Kajang (SILK) dan Lebuhraya KL – Putrajaya (MEX).

Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS); Lebuhraya Senai Desaru (SDE); Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR); Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS); Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH); Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB); Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE); Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Terowong SMART.

Selain itu, penangguhan kenaikan kadar tol juga diteruskan bagi kelas-kelas kenderaan tertentu di lima lebuh raya iaitu di Lebuhraya SPRINT dengan Plaza Tol Pantai bagi kenderaan kelas 1 dan 5 manakala Plaza Tol Damansara bagi kenderaan kelas 5 sahaja.

Kenaikan kadar tol juga ditangguhkan bagi kenderaan kelas 1 dan 5 membabitkan Plaza Tol PJS2 dan kenderaan kelas 5 bagi Plaza Tol Pantai Dalam dan PJS5 bagi Lebuhraya Baru Pantai (NPE) manakala bagi Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (BORR) semua plaza tol ditangguhkan kenaikan bagi kenderaan kelas 5.

Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH) ditangguhkan kenaikan kadar tol bagi kenderaan kelas 1 dan 5 manakala Jambatan Pulau Pinang, penangguhan membabitkan kelas 2, 3, 4 dan 5 yang terdiri daripada kenderaan persendirian dan bas.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles