Saturday, June 19, 2021

Kumpulan hak asasi bantah polis guna Sosma tumpas sindiket jenayah

Lawyers for Liberty berkata penggunaan Sosma bagi menumpaskan jenayah hanya mengekalkan kitaran tak berpenghujung salah guna kuasa.

Other News

Kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL) berkata tidak ada alasan untuk pihak berkuasa menggunakan undang-undang kontroversi Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma terhadap pegawai pasukan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan bagi menumpaskan sindiket jenayah terancang di Johor.

Koordinator LFL Zaid Malek berkata kenyataan polis berhubung perkara itu menunjukkan mereka sudah memiliki maklumat yang cukup untuk menyenaraikan suspek dan beberapa individu tertentu.

Beliau menambah penahanan yang mendapat publisiti meluas tersebut menyebabkan kurangnya perhatian diberikan berhubung Sosma yang telah digunakan untuk mendapatkan maklumat sensitif atau mengelakkan pihak ketiga dalam siasatan.

“Satu-satunya alasan yang lojik kenapa Sosma digunakan aalah untuk memaksimumkan tempoh penahanan suspek yang terlibat di mana berdasarkan penelitian kami adalah alasan yang biasa kenapa akta itu digunakan.

“Ini adalah sama dengan penahanan tanpa bicara dan ia melanggar prinsip asas ‘tidak bersalah hingga dibuktikan bersalah’,” katanya dalam satu kenyataan.

Polis Johor berkata pada Selasa bahawa 12 pegawai pasukan disyaki memiliki hubungan dengan sindiket jenayah terancang Geng Nicky telah ditahan termasuk dua pegawai SPRM.

Ketua Polis Johor Ayob Khan Mydin Pitchay berkata kesemua penahanan tersebut menjadikan jumlah mereka yang ditahan berkaitan kes itu adalah sebanyak 64 orang.

Sosma yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) membenarkan penahanan suspek selama lebih 28 hari.

Menyifatkan akta itu sebagai “undang-undang prosedur yang membawa kepada perbicaraan dan sabitan palsu” Zaid berkata ia mengeluarkan perlindungan asas yang terdapat dalam Kanun Prosedur Jenayah, Akta Keterangan dan undang-undang lain.

“Bukti yang biasanya tidak dapat diterima dalam perbicaraan jenayah biasa boleh diterima dalam perbicaraan Sosma termasuk bukti yang diperoleh dengan penindasan, penyeksaan atau bahkan palsu kerana ‘bukti’ yang dikemukakan biasanya akan diterima tanpa mempertimbangkan bagaimana ia diperoleh.

“Tertuduh juga tidak dapat mencabar atau menyemak semula sebahagian besar bukti yang diakui di bawah Sosma kerana ia membolehkan seorang saksi yang dilindungi memberikan bukti tanpa nama, menyebabkan ia bertentangan dengan standard asas perbicaraan yang adil. Ringkasnya, perbicaraan di bawah Sosma adalah sebuah penghinaan terhadap kedaulatan undang-undang dan sistem keadilan jenayah,” katanya.

Beliau memuji pihak polis kerana berusaha sedaya upaya untuk menumpaskan sindiket jenayah terancang dalam negara namun kesal ia dilaksanakan dengan menggunakan undang-undang zalim seperti Sosma.

“Secara asasnya, polis hanya menggantikan satu masalah dengan masalah yang lain, menjadikan ia sebagai satu kitaran salah guna kuasa,” katanya lagi.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles