- Iklan -
Berita

Kesas, SKVE, LPT2 antara 21 lebuh raya tangguh kenaikan tol tahun ini

Anggaran pampasan yang perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM2.25 bilion dan rundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol bersama syarikat konsesi masih berjalan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penangguhan kenaikan semua kelas kenderaan melibatkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol sebelum ini diteruskan, antaranya melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL–Putrajaya (MEX). Gambar: Bernama
Penangguhan kenaikan semua kelas kenderaan melibatkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol sebelum ini diteruskan, antaranya melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL–Putrajaya (MEX). Gambar: Bernama

Prihatin terhadap peningkatan kos sara hidup rakyat kesan penularan wabak Covid-19, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol tahun ini, antaranya melibatkan tiga lebuh raya yang sepatutnya mendapat kenaikan mulai 1 Januari 2021.

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof dalam kenyataan hari ini berkata tiga lebuh raya itu yang sepatutnya mendapat kenaikan tahun ini ialah Lebuh raya Shah Alam (KESAS); Lebuh raya Lembah Kelang Selatan (SKVE) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2).

Selain itu, penangguhan kenaikan semua kelas kenderaan melibatkan 21 lebuh raya dan satu plaza tol sebelum ini diteruskan, antaranya melibatkan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Lebuhraya Duta–Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan Lebuhraya KL–Putrajaya (MEX), katanya.

Fadillah berkata selain itu, kenaikan di satu lebuh raya dan dua plaza tol ditangguhkan untuk kenderaan Kelas 1 dan kelas 5 sahaja manakala satu lebuh raya dan tiga plaza tol ditangguhkan kenaikan bagi kenderaan Kelas 5 sahaja dan kenaikan kadar tol di satu lebuh raya ditangguhkan untuk kenderaan kelas 2,3,4 dan 5.

Susulan penangguhan itu, anggaran pampasan yang perlu ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM2.25 bilion dan perundingan untuk menstrukturkan semula kadar tol secara bersama dengan syarikat konsesi masih berjalan, dengan Kabinet bersetuju untuk dimuktamadkan sebelum 2023.

“Anggaran pampasan ini adalah berdasarkan formula pengiraan pampasan yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi dan jumlah sebenar bayaran pampasan tol akan ditentukan selepas proses verifikasi trafik dilakukan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia,” katanya.