- Iklan -
Berita

Keluarga dakwa tahanan penjara Jelebu didera, disembur serbuk cili

Isteri tahanan berkata suaminya ingin membunuh diri selepas didera teruk pihak penjara.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan di kawasan penjara Jelebu, Negeri Sembilan. Gambar: Bernama
Pemandangan di kawasan penjara Jelebu, Negeri Sembilan. Gambar: Bernama

Keluarga tahanan penjara Jelebu, Negeri Sembilan menggesa tindakan diambil terhadap pegawai yang mendera lebih 20 tahanan di bawah jagaan polis.

Mereka mendakwa bahawa pada 8 April, sekumpulan 23 tahanan dalam tahanan polis dipukul selama beberapa jam dengan paip PVC, tongkat, kerusi dan alat keras yang lain.

Keluarga mangsa turut mendakwa bahawa sebilangan tahanan disembur serbuk cili di bahagian kemaluan oleh pegawai yang tidak memakai pakaian seragam rasmi mereka.

Mereka mendakwa bahawa tahanan masih digari sepanjang kejadian tersebut berlaku.

Menurut laporan polis yang dibuat oleh isteri salah seorang tahanan, mereka meminta tindakan diambil terhadap pegawai yang bertanggungjawab atas tuduhan tersebut di samping turut berkata para tahanan mengalami trauma dan ada yang mempertimbangkan untuk membunuh diri.

“Suami saya dan rakan kes tidak ada apa-apa kemudahan atau alat komunikasi di penjara Jelebu untuk melaporkan perkara ini kepada anggota keluarga dan pihak polis,” kata wanita itu.

“Suami saya mengalami kecederaan teruk tetapi pihak penjara tidak membawa dia ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Disebabkan kejadian ini, suami saya memberitahu saya bahawa dia ingin membunuh diri di dalam penjara.

“Sebagai isteri, saya amat risau akan keselamatan beliau dan saya mohon pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.