- Iklan -
Berita

Polis tawarkan pengurangan kepada peniaga dikompaun RM50,000

Keputusan itu dicapai hasil perbincangan antara polis bersama jabatan kesihatan negeri Kelantan (JKNK), semalam.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat (kiri) membuat tinjauan pada Ops Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  di sekitar daerah Kota Bharu baru-baru ini. Gambar: Bernama
Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat (kiri) membuat tinjauan pada Ops Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sekitar daerah Kota Bharu baru-baru ini. Gambar: Bernama

Pemilik gerai burger, kedai runcit dan gerai colek yang sebelum ini tular kerana menerima kompaun sebanyak RM50,000 masing-masing, boleh menarik nafas lega apabila nilai kompaun itu dipertimbangkan untuk dikurangkan.

Ketua Polis Kelantan Shafien Mamat berkata keputusan itu dicapai hasil perbincangan di antara pihaknya bersama jabatan kesihatan negeri Kelantan (JKNK), semalam.

Beliau berkata hasil daripada perbincangan tersebut, polis Kelantan akan mengambil tindakan mengikut garis panduan penetapan nilai tawaran kompaun yang ditetapkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya JKNK di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) pula mempunyai bidang kuasa untuk menawarkan kadar pengurangan kompaun sebagaimana garis panduan tersebut.

“Merujuk kepada kompaun 26 April 2021, kes tular di media sosial iaitu pemilik gerai burger, kedai runcit dan gerai colek, KKM di Kelantan memaklumkan kesemua pemilik premis ini akan dipertimbangkan kadar kompaun sepertimana dalam garis panduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya untuk kes-kes lain yang dikenakan kompaun bagi individu dan premis sebelum ini, mereka dinasihatkan supaya membuat rayuan kepada JKNK untuk mendapatkan kadar pengurangan kompaun mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan.

Shafien turut mengingatkan semua masyarakat di Kelantan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara untuk bersama-sama menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, peniaga gerai colek dari Kampung Chekok Tengah yang tular, Mohd Azizi Mohd Nor, 42, ketika dihubungi berkata dia hanya mampu membayar RM1,000.

“Setakat ini, apa yang bermain di fikiran saya hanyalah ‘masuk jel’ walaupun kesalahan saya bukannya kategori jenayah,” katanya yang belum kembali berniaga selepas isu kompaun itu tular beberapa hari lepas.