- Iklan -
Berita

Kami bukan orang kaya, kata isteri penjual burger selepas gambar tular

Gambar tular Faisal di sebuah restoran mewah adalah ketika meraikan hari lahir saudaranya, dan mereka berkongsi bersama keluarga untuk menikmati hidangan di sana.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Norlaili Shafii berkata mereka sanggup menjual kereta Honda Civic miliknya untuk membayar kompaun yang dikenakan penguatkuasa.
Norlaili Shafii berkata mereka sanggup menjual kereta Honda Civic miliknya untuk membayar kompaun yang dikenakan penguatkuasa.

Isteri penjual burger di Kelantan yang baru-baru ini dikompaun RM50,000 kerana melanggar SOP Covid-19 hari ini menafikan dakwaan pengguna media sosial yang menuduh mereka adalah dari golongan berada selepas beberapa gambar tular memaparkan mereka hidup mewah.

Sebuah gambar yang menunjukkan Norlaili Shafii dan suaminya Wan Mohd Faisal Wan Kadir berdiri di sebelah kereta Honda Civic dan Faisal berada di restoran mewah tular di media sosial.

Gambar-gambar tersebut telah menimbulkan kecaman warga net selepas sebelum ini mereka mendapat simpati apabila nilai kompaun yang tinggi dikeluarkan penguatkuasa kepada mereka.

Norlaili memberitahu MalaysiaNow dia dan suami membeli kereta tersebut pada 2018, dan menafikan mereka membelinya secara tunai.

“Kalau tahu Covid nak mari, saya tak beli. Interest pun tak lepas lagi. kemudian ada yang kata cash, biar betul,” katanya.

Berhubung makan malam di restoran stik mewah, Norlaili berkata ia adalah sambutan hari lahir salah seorang ahli keluarganya, kos makan malam itu juga turut dikongsi bersama saudaranya.

Norlaili turut berkata rumah mereka siap tahun lalu, beberapa bulan sebelum perintah kawalan pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“15 tahun saya berniaga tepi jalan. Tahun lepas siap rumah saya. Kira buat rumah baru, bukan jual burger setahun dah boleh buat rumah, kumpul bertahun baru siap rumah,” tambahnya.

Menurutnya, Faisal telah memohon rayuan berhubung jumlah kompaun yang dikenakan kepada mereka pada Selasa.

“Kalau 1,000 ke bawah boleh bayar dengan duit simpanan,” katanya.

“Duit simpanan saya habis dah buat rumah. Saya jual malam-malam ni nak bayar kereta, bil api air, dalam bank tak ada (simpanan),” jelasnya lagi mengatakan tidak mampu bayar jika kompaun yang diterima beliau terlalu tinggi.

Faisal dikenakan kompaun kerana gerainya beroperasi lebih dari masa yang dibenarkan.

Norlaili turut menyifatkan kompaun yang diterima mereka sebagai tidak adil kerana wujud peniaga lain yang berniaga lebih dari masa yang ditetapkan.

“Ini tak adil, kalau tak boleh berniaga, semua orang tak boleh, kes saya ni ada orang yang buat laporan,” katanya sambil menjelaskan wujud peniaga lain yang tidak dikompaun walaupun beroperasi lebih masa yang ditetapkan.

Kompaun RM50,000 yang diterima Faisal dibandingkan dengan kompaun yang diterima selebriti Noor Neelofa Mohd Noor sebanyak RM60,000 dan keluarganya kerana melanggar SOP ketika majlis perkahwinannya.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa penguatkuasa melaksanakan SOP dengan penuh rasa kemanusiaan dan budi bicara terhadap peniaga kecil dengan kompaun yang setimpal kesalahan mereka.