Friday, September 17, 2021

Ada buaya, WiFi tiada: Cabaran pelajar pedalaman Sarawak ketika sekolah tutup

Ramai yang tiada akses internet atau peranti untuk pembelajaran di rumah, sementara yang lain terpaksa tempuh perjalanan jauh jika asrama ditutup.

Other News

Pandemik Covid-19 yang mengganggu sesi persekolahan di seluruh negara lebih dari setahun lalu mulai menunjukkan kesan sampingan langkah-langkah kesihatan dilaksanakan negara bagi mengekang penularan virus apabila pelajar kawasan pedalaman Sarawak terjejas ekoran kurang akses internet dan kemudahan asas pembelajaran.

Situasi tersebut berbeza jika dibanding sekolah bandar dan pusat bandar di mana guru dan pelajar mempunyai kemudahan internet yang stabil selain turut dilengkapi peranti diperlukan untuk menjalankan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Google Meet, Zoom dan WhatsApp adalah aplikasi yang biasa digunakan ketika PdPR, bahkan tanpa sambungan internet pun penduduk bandar masih boleh mengikuti sesi kelas mereka melalui pelbagai program pendidikan yang disiarkan di televisyen.

Bagaimanapun, bagi kebanyakan sekolah di pedalaman Sarawak, keadaannya sangat berbeza.

SK Nanga Oyan di Kapit, sebuah pekan kecil di tebing Sungai Rajang berusaha sedaya upaya ketika mereka berdepan sebarang pengumuman kerajaan setiap kali langkah-langkah baru dilaksanakan di negeri itu.

Namun pengumuman penutupan sekolah baru-baru ini sangat mengejutkan orang ramai terutama pihak sekolah.

“Kami terkejut ketika mendengar pengumuman itu,” kata pengetua Mohammad Mobun kepada MalaysiaNow.

“Tutup semua sekolah di zon merah selama dua minggu? Bayangkan betapa huru-haranya hari itu. Kami hanya mempunyai satu hari saja untuk menyiapkan semua bahan pembelajaran yang pelajar perlukan untuk tempoh dua minggu.”

Bagaimanapun, menyelesaikan rancangan pengajaran bukanlah satu-satunya masalah yang dihadapi pihak sekolah.

Sebilangan besar pelajar di SK Nanga Oyan menginap di asrama sekolah itu sepanjang tahun akademik.

Pemandangan sekolah di pedalaman Sarawak.

Semasa arahan dibuat untuk sekolah ditutup, salah satu soalan paling penting yang difikirkan pihak guru adalah: Bagaimana pelajar mereka hendak pulang?

“Siapa yang akan hantar mereka kembali ke rumah panjang?” kata Mobun.

Akhirnya, guru-guru sendiri yang harus menghantar mereka ke rumah. Mereka pergi dengan sukarela, kata Mobun.

Bagaimanapun, ia adalah perjalanan yang sukar untuk guru dan pelajar termasuk yang baru berusia tujuh tahun.

Seperti sekolah-sekolah luar bandar lain di negeri ini, SK Nanga Oyan terletak berhampiran Sungai Rajang yang terkenal sebagai habitat buaya dan akses ke sana hanya melalui jalan sungai.

Untuk pulang ke rumah, para pelajar dan guru terpaksa menempuh jarak yang jauh.

Rumah panjang yang terletak paling hampir dengan sekolah memakan masa lebih kurang 30 minit dan kawasan lain memakan masa hampir dua jam.

Harga bahan api untuk bot adalah RM5 hingga RM15 satu gelen, kos itu juga harus ditanggung guru.

Beberapa perjalanan menghantar pelajar memerlukan satu atau dua gelen diesel sementara yang lain memerlukan tiga hingga lima gelen untuk perjalanan sehala.

Walaupun perlu membayar, mereka tidak mempunyai pilihan lain.

“Tiada jalan raya yang baik,” kata Mobun.

“Satu-satunya pilihan yang kami ada adalah melakukan perjalanan dengan bot.”

Katanya, terdapat jalan yang dibuat penebang balak namun para guru menghindarinya kerana keadaan tidak selamat.

“Sekiranya sekolah tidak dapat diakses melalui jalan raya, bagaimana anda nak harapkan ada internet di sini?” katanya.

“Sudah setahun sejak wabak berlaku dan kami masih belum memiliki fasiliti seperti itu.”

Sungai Rajang menjadi laluan utama untuk penduduk pedalaman Sarawak mendapatkan pendidikan di sekolah.

Malahan, apa yang dikatakan sebagai asas untuk persekolahan seperti pakaian seragam dan alat tulis dianggap sebagai barang mewah bagi pelajarnya, yang kebanyakannya berasal dari keluarga berpendapatan rendah.

Mobun masih menunggu naik taraf sekolahnya namun perkara itu tidak mengejutkannya.

“Banyak sekolah luar bandar di Sarawak ketinggalan berbanding sekolah-sekolah di Malaysia Barat dan sekolah di kawasan bandar.

“Macam mana kita nak harapkan murid-murid ini memiliki prestasi yang sama macam di Malaya dan di bandar-bandar sekiranya kemudahan sekolah berada dalam keadaan yang buruk?”

Namun, di sebalik cabaran itu, Mobun berharap guru-guru dan muridnya tidak berputus asa.

Berhenti sekolah

Ahli pendidikan Adam Prakash berkata walaupun penutupan sekolah boleh membantu membendung jangkitan, kekurangan akses dan fasiliti bagi kanak-kanak di kawasan pedalaman menjadikan mereka lebih rentan.

Prakash yang merupakan ahli Kesatuan Guru Sarawak berkata pendidikan adalah pertaruhan terbaik mereka untuk menghentikan kitaran kemiskinan keluarga.

“Sebab itu kami tak sokong tutup sekolah dalam jangkamasa lama,” katanya walaupun mengakui ia adalah langkah terbaik jika situasi menjadi semakin buruk.

Jika kanak-kanak terlalu lama tidak menjalani pembelajaran di sekolah, dan tidak boleh mengikuti pembelajaran melalui kaedah PdPR, mereka dibimbangi terputus hubungan dari sistem dan hilang minat untuk belajar.

“Nanti akan susah kita nak menangi hati mereka untuk belajar semula,” kata Prakash kepada MalaysiaNow.

Beliau berkata, di Sarawak masalah yang terus berlarutan sejak sekian lama adalah: kawasan-kawasan yang tidak boleh diakses melalui jalan raya.

Sejak beberapa tahun lalu, pendidikan dilihat sebagai satu hal yang hanya boleh diakses oleh golongan yang berpendapatan tinggi di Sarawak.

Laluan pengangkutan pembalakan bukan pilihan dengan keadaannya yang merbahaya dan tidak selesa.

“Kami harap ada perancangan yang dijalankan untuk bantu pelajar di kawasan pedalaman untuk pastikan pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan,” kata Prakash.

“Ada ramai ibu bapa yang tak mampu bantu anak-anak mereka kerana mereka pun tidak memiliki pendidikan dan tidak mampu dari menyediakan peranti untuk kelas-kelas dalam talian,”

Prakash turut mendesak wakil-wakil rakyat untuk melaksanakan tanggungjawab menaikkan taraf kehidupan rakyat di kawasan mereka.

“Kerajaan mesti utamakan pembangunan kawasan pedalaman,” katanya.

“Kita sudah merdeka lebih dari setengah abad tapi kita masih jauh terkebelakang dari sudut fasiliti dan kemudahan.”

Prakah turut berkata kekurangan dana melaksanakan sesuatu projek yang besar menyebabkan organisasi beliau hanya mampu menyuarakan masalah-masalah yang dihadapi guru dan pelajar di kawasan pedalaman dan kawasan yang kurang bernasib baik.

“Sudah tiba masa semua orang buat apa yang mereka cakap. Jangan biarkan generasi akan datang tidak memiliki peluang untuk membaiki keadaan hidup mereka,” katanya.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles