- Iklan -
Berita

Wanita 54 tahun korban pertama vaksin AstraZeneca di Kanada

Wanita itu meninggal dunia akibat strok gumpalan darah di otaknya selepas mangsa menerima suntikan vaksin AstraZeneca.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Suntikan vaksin AstraZeneca memiliki risiko gumpalan darah beku. Kanada merekodkan empat kes darah beku atau gumpalan darat dengan platlet rendah dilaporkan di seluruh negara dengan kesemuanya sudah dilaporkan pulih. Gambar: AP
Suntikan vaksin AstraZeneca memiliki risiko gumpalan darah beku. Kanada merekodkan empat kes darah beku atau gumpalan darat dengan platlet rendah dilaporkan di seluruh negara dengan kesemuanya sudah dilaporkan pulih. Gambar: AP

Seorang wanita berusia 54 tahun dilaporkan meninggal dunia di Kanada selepas menerima vaksin AstraZeneca menjadikannya kes kematian pertama berhubung vaksin tersebut di negara itu, kata pihak berkuasa pada Selasa.

“Saya sedih bila dimaklumkan seorang wanita sihat berusia 54 tahun meninggal dunia selepas divaksin. Sukar untuk kita menerima berita ini,” kata Ketua Menteri Quebec, Farncois Legault dalam sebuah sidang media.

Ketua Pegawai Kesihatan Quebec Horacio Arruda berkata rawatan untuk menyelamatkan nyawa mangsa tidak dapat mengubati beliau dan pesakit yang tidak didedahkan itu meninggal dunia akibat strok gumpalan darah di otaknya (cerebral thrombosis) selepas mangsa divaksin.

Namun beliau mengingatkan bahawa kes kematian tidak seharusnya mengubah keputusan kerajaan sebelum ini untuk menggunakan vaksin tersebut kepada mereka yang berumur 45 tahun ke atas.

“Kami tahu tentang komplikasi yang serius tersebut, Ia adalah satu kes dari 100,000 dos suntikan. Namun kita harus ingat, bahawa 400,000 orang sudah divaksin dengan AstraZeneca,” Kata Menteri Kesihatan Quebec Christian Dube.

Pada Jumaat lalu, 1.1 juta dos suntikan AstraZeneca telah dijalankan di negara itu.

Hanya empat kes darah beku atau gumpalan darat dengan platlet rendah dilaporkan di seluruh negara dengan kesemuanya sudah dilaporkan pulih.

Perdana Menteri Justin Trudeau turut menjadi penerima vaksin AstraZeneca pada Jumaat lalu.

Selasa lalu, pemimpin Kanada itu berkata 60 anggota tentera telah dikerahkan ke beberapa hospital di Nova Scotia bagi membantu penyeliaan pesakit-pesakit kritikal.

Sehari sebelumnya, 30 orang jururawat tentera dan juruteknik kesihatan turut dihantar bagi membantu kakitangan hospital di Ontario yang kini menghadapi gelombang baru jangkitan beberapa varian Covid-19.

Quebec menjadi negeri yang paling banyak mencatatkan kes kematian akibat Covid-19 berbanding kawasan-kawasan lain.

Bagaimanapun, data menunjukkan kadar jangkitan mulai menurun menyebabkan kerajaan mengumumkan usahanya untuk mengenakan perintah berkurung pada waktu malam di Montreal dari 8 hingga 9.30 malam waktu tempatan bermula Isnin depan.