- Iklan -
Berita

Thailand beri perlindungan kepada pelarian Myanmar

Agensi keselamatan yang relevan akan meletakkan mereka di bawah prosedur yang dikendalikan oleh tentera dengan pemeriksaan Covid-19.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Tentera Myanmar berkawal di sepanjang sungai berdekatan sempadan Myanmar-Thailand. Ribuan pelarian Myanmar menyeberang sempadan negara itu selepas mereka diserang junta tentera selepas kudeta berlaku 1 Februari lalu. Gambar: AP
Tentera Myanmar berkawal di sepanjang sungai berdekatan sempadan Myanmar-Thailand. Ribuan pelarian Myanmar menyeberang sempadan negara itu selepas mereka diserang junta tentera selepas kudeta berlaku 1 Februari lalu. Gambar: AP

Thailand akan menempatkan penduduk kampung dari Myanmar yang melarikan diri ke Thailand di tempat perlindungan sementara berikutan serangan di pos tentera Myanmar dekat sempadan Thailand pada Selasa.

Jurucakap kementerian luar Tanee Sangrat berkata agensi keselamatan yang relevan akan meletakkan mereka di bawah prosedur yang dikendalikan oleh tentera dengan pemeriksaan Covid-19 berdasarkan piawaian pengendalian penyakit dan langkah-langkah kesihatan awam negara.

“Jika rusuhan terus berlanjutan dan pertempuran meningkat, mereka akan dipindahkan ke daerah perlindungan satu kilometer dari sempadan dengan keperluan asas kemanusiaan yang disediakan termasuk makanan, air, dan ubat-ubatan.”

Sokongan keperluan seterusnya akan diberikan oleh badan amal awam dan swasta,” katanya dalam satu kenyataan berikutan pertempuran antara pasukan tentera Myanmar dan puak bersenjata yang beroperasi di kawasan berdekatan dengan sempadan Thailand-Myanmar.

Pada pukul lima pagi Selasa (waktu tempatan), Kesatuan Nasional Karen (KNU) dan Tentera Pembebasan Nasional Karen (KNLA) melancarkan serangan ke sebuah pos tentera Myanmar di seberang Kampung Mae Sam Laep di Daerah Sop Moei, Wilayah Mae Hong Son.

Laporan media mengatakan ia antara beberapa pertempuran paling sengit sejak rampasan kuasa tentera pada 1 Februari lepas dengan sumber KNU mengatakan tentera kemudian merampas kembali kem tentera Myanmar itu melalui serangan udara. KNU adalah pasukan pemberontak terawal di Myanmar.

Pihak berkuasa Thailand juga mengesahkan serangan udara berlaku di Myanmar bertentangan dengan Taman Negara Salween tetapi tiada laporan akan angka korban.

Namun, Tanee mengatakan kejadian itu menyebabkan 250 penduduk Thailand dari Desa Mae Sam Laep melarikan diri ke Ban Huai Kong Kad di Wilayah Mae Hong Son. Pihak berkuasa tempatan dan pasukan keselamatan telah memberikan bantuan kepada kumpulan rakyat tempatan itu.

Pertempuran pada Selasa berlaku setelah para pemimpin Asean bertemu di Sekretariat organisasi itu di Jakarta pada hari Sabtu untuk membincangkan krisis yang sedang berlaku di Myanmar.

Pertemuan pada hujung minggu dengan ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing telah mencapai kata sepakat untuk mengakhiri keganasan dan mempromosi dialog antara pihak-pihak Myanmar yang berkonflik.

Majlis Pentadbiran Negara Myanmar mengatakan akan “mempertimbangkan secara positif” cadangan yang dibuat oleh para pemimpin Asean dalam pertemuan itu apabila negara kembali stabil.

Ia mengatakan keutamaan pada masa ini adalah mengekalkan undang-undang dan ketenteramanan awam.

Myanmar bergolak sejak ketua angkatan tentera Min Aung Hlaing pada 1 Feb lepas menggulingkan kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi, dengan pasukan keselamatan membunuh lebih 750 penunjuk perasaan anti-kudeta sejak rusuhan meletus.