- Iklan -
Berita

Sarawak sasar selesaikan program vaksinasi pada Ogos, sebelum PRN

Pemimpin PBB Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak mahu mengelak daripada peningkatan kes Covid-19 seperti yang berlaku ketika PRN Sabah tahun lalu.

Nur Shazreena Ali
1 minit bacaan
Kongsi
Sarawak yang bakal menjalankan pilihan raya negeri mahu populasi rakyat divaksin penuh bagi mengelakkan peningkatan jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama
Sarawak yang bakal menjalankan pilihan raya negeri mahu populasi rakyat divaksin penuh bagi mengelakkan peningkatan jangkitan Covid-19. Gambar: Bernama

Kerajaan Sarawak hari ini berkata program vaksinasi negeri itu mesti diselesaikan Ogos depan bagi memberikan laluan pelaksanaan pilihan raya negeri (PRN) di Sarawak dalam tempoh 60 hari selepas DUN dijadualkan bubar pada Jun.

Menteri Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah berkata sekurang-kurangnya 70% populasi Sarawak perlu mendapat suntikan vaksin penuh sebelum mereka dibenarkan untuk keluar mengundi.

“Sudah bukan rahsia lagi bahawa PRN Sarawak akan diadakan tidak lama lagi,” kata Karim yang merupakan naib presiden PBB, parti utama GPS kepada MalaysiaNow.

Beliau memberikan respons terhadap kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin bahawa Sarawak sedang mempertimbangkan untuk menggunakan vaksin AstraZeneca sejajar dengan matlamat negeri itu yang menyasarkan penduduknya dapat menyelesaikan vaksinasi pada Ogos depan sebelum pilihan raya.

Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang menjalankan PRN berasingan daripada pilihan raya umum (PRU).

Karim berkata Sarawak mesti melengkapkan program vaksinasinya supaya ia dapat mengelak peningkatan kes Covid-19 seperti yang telah berlaku dalam PRN Sabah tahun lalu.

Beliau berkata hanya perintah darurat sahaja yang boleh menunda pilihan raya atau mengubah situasi di samping turut menambah perintah darurat ketika ini akan tamat pada 1 Ogos depan.

“Jadi, jika darurat ketika ini tangguhkan sidang DUN, ia tidak boleh dibubarkan pada 6 Jun depan, sewaktu penggal pentadbiran tamat.

“Ia akan secara automatik terbubar selepas darurat tamat pada 1 Ogos depan,” jelasnya.

GPS, yang menguasai 68 kerusi daripada jumlah keseluruhan 82 kerusi adalah terdiri dari Parti Pesaka Bumiputra Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).