- Iklan -
Berita

PM gesa penguatkuasa lebih berhikmah pastikan masyarakat patuh SOP

Pendekatan penuh budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan penguatkuasa ketika pandemik menjadikan usaha mendidik masyarakat akan lebih diterima.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur ketika melaksanakan pemeriksaan di  Bazaar Ramadan Kampung Baru.
Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur ketika melaksanakan pemeriksaan di Bazaar Ramadan Kampung Baru.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini menggesa penguatkuasa lebih berhikmah dalam memastikan masyarakat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Kenyataan Muhyiddin itu dikeluarkan ketika pengguna media sosial heboh berkenaan seorang peniaga burger di Kelantan yang dikenakan kompaun sebanyak RM50,000 kerana gagal mematuhi SOP Covid-19.

“Saya faham dan menginsafi kesusahan rakyat mencari punca pendapatan untuk menjamin kelangsungan hidup dalam situasi pandemik ini.

“Ada yang berikhtiar menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung perbelanjaan seperti menjual burger, makanan ringan, minuman ataupun hasil tanaman masing-masing.

“Mereka ini bukanlah pemilik syarikat atau pertubuhan perniagaan yang besar tetapi hanya pemegang lesen untuk berniaga sendiri secara kecil-kecilan,” kata perdana menteri dalam ucapannya semasa melancarkan pertandingan komuniti Zon Hijau Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Semalam kementerian kesihatan berkata akan membuat penilaian semula terhadap kes peniaga burger di Kelantan yang dikompaun RM50,000, sama ada diberi pengurangan atau pengecualian, kata Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

Beliau berkata KKM amat prihatin serta memandang serius kes berkenaan dan meminta peniaga terbabit tampil mengemukakan permohonan rayuan terhadap kompaun itu secepat mungkin.

Muhyiddin berkata, ketegasan itu penting untuk pastikan peraturan dipatuhi, akan tetapi perlu ada budi bicara dan perikemanusiaan dalam tindakan yang diambil menurut ruang lingkup undang-undang.

“Supaya usaha kita untuk mendidik masyarakat atau komuniti akan lebih diterima.

“Hal ini sangat penting, terutamanya dalam situasi pandemik yang memberi kesan sangat besar kepada kehidupan rakyat,” katanya.