- Iklan -
Berita

Khairy jelaskan butiran kos peruntukan RM5 bilion PICK

Menurutnya, kerajaan terpaksa menanggung pelbagai kos perbelanjaan tambahan bagi menampung seluruh pengurusan pelaksanaan PICK.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang melibatkan perbelanjaan RM5 bilion telah memulakan fasa kedua melibatkan warga emas pada 19 April lalu. Gambar: Bernama
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang melibatkan perbelanjaan RM5 bilion telah memulakan fasa kedua melibatkan warga emas pada 19 April lalu. Gambar: Bernama

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin hari ini menyenaraikan butiran peruntukan vaksin yang kini meningkat kepada RM5 bilion.

Khairy dalam kenyataannya hari ini berkata peningkatan peruntukan program vaksinasi kebangsaan yang sebelum ini hanya berjumlah RM3 bilion kepada RM5 bilion kerana mengambil kira kos-kos perbelanjaan tambahan bagi menampung seluruh pengurusan pelaksanaan program imunisasi tersebut.

Khairy berkata harga perolehan vaksin ketika ini dianggarkan sebanyak RM3.16 bilion bergantung penambahan bekalan dengan mengambil kira pemberian vaksin untuk golongan remaja mewakili 110% populasi.

“Walaupun buat masa ini harga perolehan dianggarkan pada RM3.16 bilion, ia bergantung kepada penambahan bekalan dengan mengambil kira pemberian vaksin untuk golongan remaja dan stok penimbal sehingga siling RM3.5 bilion yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan.”

Pada 23 Disember tahun lalu, Khairy mengumumkan kerajaan berjaya mendapatkan akses vaksin untuk 82.8% populasi negara daripada pelbagai pembekal dengan harga RM2.05 bilion

Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil kira risiko gangguan bekalan seperti sekatan eksport, bahan mentah, kapasiti pengilang dan kelulusan regulatori.

Justeru, katanya, jumlah 82.8% itu ditingkatkan kepada 110% yang turut dinyatakan dalam Buku Panduan PICK yang dilancarkan Februari lalu.

Selain jumlah peruntukan yang melebihi siling kerajaan sebanyak RM3.5 bilion, kerajaan turut menanggung kos-kos lain berkait program tersebut.

Antara peruntukan lain yang turut disenaraikan dalam peruntukan tersebut adalah sewaan dan utiliti, perkakasan, pembersihan dan sanitasi, selain saguhati sukarelawan bagi memastikan pelaksanaan pemberian vaksinasi berjalan lancar.

Kos-kos lain yang turut terlibat termasuk integrasi data dan sistem janji temu, program advokasi vaksinasi, saguhati untuk sukarelawan kesihatan, survelan pasca imunisasi dan naik taraf sistem, penyumber luaran pengamal perubatan swasta dan kos kontigensi.

“Dengan pengumuman daripada beberapa pembekal vaksin bahawa ujian klinikal sedang dijalankan kepada golongan remaja, kerajaan juga telah membuat ketetapan awal untuk menambah lagi bekalan vaksin bagi pemberian dibuat kepada golongan tersebut apabila kelulusan diberi kelak.

“Kerajaan juga mengambil ketetapan untuk memperolehi bekalan tambahan sebagai stok penimbal jika dos booster tambahan diperlukan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Khairy turut mengingatkan bahawa anggaran perolehan tersebut masih tidak muktamad kerana beberapa vaksin yang disasarkan perolehannya oleh kerajaan masih dinilai NPRA.

“Anggaran perolehan vaksin ini juga masih tidak muktamad. Contohnya, perjanjian kerajaan dengan pembekal seperti Gamaleya (Sputnik V) dan CanSino masih belum dapat dilaksanakan disebabkan vaksin-vaksin tersebut masih dinilai oleh NPRA dan belum didaftar.

“Jika vaksin-vaksin ini tidak mendapat kelulusan atau mengambil masa yang terlalu lama, kerajaan ada pilihan untuk tidak meneruskan perjanjian tersebut, tanpa apa-apa implikasi kewangan,” jelasnya.

Pecahan peruntukan RM5 bilion bagi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan

Bil.ItemPeruntukan siling (RM)
1.Perolehan vaksin dan logistik vaksin (Bagi portfolio vaksin Covid-19)3,500,000,000
2.Sewaan dan utiliti
(Dewan, khemah, meja, kerusi, elektrik, air, wifi,
pemeriksa suhu badan, generator, bahan bakar)
333,000,000
3.Perkakasan, bekalan pakai buang dan
pelaksanaan pemberian vaksinasi
(Komputer, bekalan ICT, Sistem PA di PPV)
260,000,000
4.Pembersihan dan sanitasi
(Pelupusan sisa bukan klinikal, tandas bergerak,
sanitasi bangunan)
100,000,000
5.Saguhati sukarelawan bukan kesihatan
(Saguhati elaun MyVac, Rela, APM)
200,000,000
6.Integrasi data dan sistem janji temu
(Dashboard pelaporan, pusat panggilan, sistem
sukarelawan)
70,000,000
7.Program “Community Outreach” dan advokasi
vaksinasi
55,000,000
8.Saguhati sukarelawan kesihatan147,000,000
9.Survelan pasca imunisasi dan naik taraf sistem15,000,000
10Penyumber luaran pengamal perubatan swasta210,000,000
11Kontigensi dan luar jangka*110,000,000
Jumlah5,000,000,000

 

* Penggunaan bagi perkara/item Kontigensi dan Luar Jangka adalah tertakluk kepada kelulusan kementerian kewangan