- Iklan -
Berita

Sesi persekolahan diteruskan, kata menteri kanan

Jangkitan dalam kluster pendidikan membabitkan sekolah di bawah KPM jauh lebih rendah berbanding kluster-kluster lain.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi

Kementerian pendidikan (KPM) tidak akan menutup sesi persekolahan seperti yang didesak beberapa pihak berikutan dakwaan penularan Covid-19 yang berlaku di sekolah-sekolah di bawah kelolaan mereka, kata Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) Radzi Jidin.

Beliau berkata, ini kerana mengikut data yang dikumpul KPM, jumlah kes dan kluster membabitkan sekolah di bawah kementerian itu menunjukkan kadar penularan Covid-19 di sekolah ialah lebih rendah berbanding kluster-kluster lain.

Katanya, menurut data daripada kementerian kesihatan (KKM), 60.8% kes Covid-19 berlaku secara sporadik yang mana kes tersebut tidak dijejak ke mana-mana kluster, manakala hanya 39.2% dalam bentuk kluster.

“Terdapat 99 kluster pendidikan membabitkan 6,549 kes. Ia mewakili 9.17% daripada keseluruhan 1080 kluster dan 5.97% daripada kes kluster.

“Daripada jumlah 99 kluster, hanya 52 kluster membabitkan institusi di bawah KPM dengan 2,274 kes. Baki 47 kluster membabitkan institusi lain dengan jumlah 4,275 kes.

“Kluster pendidikan ini kecil, tapi kita cerita seolah-olah inilah penyumbang utama. Kita perlu analisa satu persatu data yang ada,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Radzi yang juga menteri pendidikan mengulas mengenai persepsi umum yang katanya seolah-olah menuding jari kepada pihak sekolah sebagai punca utama kenaikan kes Covid-19.

Media melaporkan sebelum ini beberapa pihak termasuk ibu bapa mendesak kerajaan menutup sekolah dan memperkemaskan proses pengajaran dan pembelajaran dari rumah.

Radzi berkata, sekolah hanya akan ditutup sekiranya Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kementerian kesihatan  memberikan arahan sedemikian.

Katanya, penutupan sekolah juga hanya satu jalan mudah, namun tidak semestinya satu keputusan tepat.

Menerusi data itu, Radzi berkata murid-murid lebih berisiko dijangkiti di luar tempat sekolah.

“Murid-murid akan terdedah juga jika tidak ke sekolah. Cuma di sekolah, mereka berada dalam keadaan terkawal. Para guru sentiasa pastikan murid-murid mematuhi SOP.”

Menurut Radzi, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) membolehkan sesi pengajaran dan pembelajaran dilaksana dengan baik, selain mengurangkan kadar jangkitan.

“Apabila berlaku jangkitan dalam sekolah, kita buat pemetaan. Kita ambil maklumat setiap jangkitan, kita petakan dan cuba fahami di mana jangkitan berlaku supaya SOP boleh diperketatkan.

“Dalam konteks keberadaan murid dalam sekolah, jika ada dua murid berlainan kelas yang dijangkiti, kita jejak semula sama ada mereka balik bersama, tinggal di taman perumahan sama, atau ke menaiki van sekolah yang sama,” katanya.

Dalam pada itu, Radzi memberitahu cabaran terbesar dalam mengendalikan kes Covid-19 membabitkan murid-murid  yang tinggal di asrama.

Katanya, KPM menubuhkan satu “taskforce” bagi menumpukan usaha terhadap keadaan di asrama penuh dan harian.