- Iklan -
Berita

Putrajaya sekali lagi beri jaminan Parlimen bersidang pada masa sesuai

Takiyuddin berkata kerajaan bersedia mendengar cadangan daripada pihak pembangkang melalui Jawatankuasa Khas berhubung penguatkuasaan perintah darurat ketika ini.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-undang) Takiyuddin Hassan. Gambar: Bernama

Putrajaya hari ini sekali lagi memberi jaminan sidang Parlimen akan segera diadakan apabila tiba masa yang sesuai sama ada sebelum atau selepas darurat ditamatkan pada 1 Ogos 2021 depan.

Dalam sebuah kenyataan hari ini, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan berkata sidang Parlimen yang akan diadakan tetap bergantung kepada situasi semasa Covid-19 dan nasihat pihak berkuasa kesihatan negara.

“Perkara ini bergantung kepada nasihat dan pandangan pakar yang akan diperolehi oleh kerajaan daripada semua pihak yang berkenaan terutamanya kementerian kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” kata Takiyuddin yang juga merupakan Ahli Parlimen Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau turut mengalu-alukan pandangan semua pihak berkenaan termasuk pembangkang berhubung penguatkuasaan darurat yang dilaksanakan ketika ini selain berkata kerajaan maklum mengenai gesaan beberapa badan berhubung isu persidangan dewan legislatif negara itu.

“Semua pihak termasuk pembangkang masih boleh menyalurkan sebarang pandangan kepada kerajaan melalui saluran-saluran yang dibenarkan, termasuklah melalui Jawatankuasa Khas Bebas yang ditubuhkan di bawah Ordinan Darurat bagi menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai hal-hal berkaitan kuat kuasa Darurat.”

Katanya, tidak wajar wujud kesangsian kononnya berlaku salah guna kuasa dalam pengurusan darurat kerana sistem kerajaan ketika ini berfungsi seperti biasa.

“Sistem Kerajaan berfungsi sebagaimana biasa termasuklah dalam aspek pemantauan pentadbiran oleh pihak penguatkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Audit Negara dan juga Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam (PAC),” katanya.

Sebelum ini, gesaan untuk sidang Parlimen diadakan disuarakan pelbagai pihak termasuk dalam kalangan pembangkang.

Presiden PKR Anwar Ibrahim dan beberapa ahli Parlimen dari Umno turut dilihat mengepalai tuntutan itu melalui media sosial dan beberapa kenyataan rasmi parti.

Usaha tersebut turut dijalankan NGO Tamat Darurat yang diketuai Khalid Samad bagi menarik perhatian Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat dan persidangan Parlimen dapat segera diadakan.