- Iklan -
Berita

PdPR dilaksana selama 2 minggu selepas cuti Aidilfitri

Pengumuman PdPR lebih awal ialah bagi membolehkan guru membuat persiapan untuk sesi tersebut.

Ahmad Mustakim Zulkifli
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Pendidikan Radzi Jidin ketika bercakap kepada media hari ini.
Menteri Pendidikan Radzi Jidin ketika bercakap kepada media hari ini.

Sesi persekolahan akan dilaksanakan secara dalam talian menerusi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) untuk dua minggu selepas cuti perayaan Aidilfitri, kata Menteri Kanan (Kluster Pendidikan dan Sumber Manusia) Radzi Jidin.

Katanya, bagi kumpulan A yang terdiri daripada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Johor, PdPR dilaksanakan dari 16 hingga 27 Mei, manakala bagi negeri-negeri lain (kumpulan B), PdPR dilaksanakan bermula 17 hingga 28 Mei.

Beliau berkata, keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga mengambil kira risiko jangkitan dalam komuniti yang berlaku akibat sambutan perayaan, selain ketiadaan data trend jangkitan semasa Aidilfitri.

“Kita tak tahu macam mana trend jangkitan murid selepas sambutan hari raya Aidilfitri kerana sekolah ditutup pada tahun lepas.

“Kekhuatiran kita ialah asrama. Apa yang berlaku ialah pelajar dijangkiti dari luar, kemudian berlaku penularan di kalangan kawan-kawan. Ini berlaku di asrama penuh dan juga asrama harian.

“Ini merupakan komponen besar. Kita ada 170,000 murid di asrama harian dan asrama penuh juga hampir 100,000,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya hari ini.

Katanya, tujuan PdPR diumum awal ialah bagi membolehkan guru membuat persiapan untuk sesi tersebut.

“Guru boleh pilih apa kaedah terbaik untuk mengajar. Terpulang kepada kesesuaian guru dan murid,” katanya.

Radzi yang juga menteri pendidikan berkata, kementerian pendidikan juga tidak mahu pihak sekolah terpalit dengan tuduhan sekiranya berlaku jangkitan dalam kalangan murid sekolah selepas cuti Aidilfitri.

Cuti bersempena hari raya Aidilfitri jatuh pada 11 hingga 15 Mei untuk seluruh negara manakala cuti penggal bermula 28 Mei hingga 12 Jun bagi kumpulan A.

Cuti penggal bagi kumpulan B bermula 29 Mei hingga 13 Jun.

Menurut Radzi, PdPR hanya dilaksanakan untuk tempoh berkenaan dan tidak disambung selepas itu.