- Iklan -
Berita

Kerajaan guna RM5 bilion dana KWAN, elak defisit negara meningkat, kata menteri

Menurut Zafrul, sekiranya kerajaan tidak menggunakan dana KWAN, kadar defisit negara mungkin meningkat kepada 6.2%.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama
Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz. Gambar: Bernama

Kementerian kewangan hari ini menjelaskan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) boleh digunakan selepas 10 tahun daripada tarikh penubuhannya bagi membiayai program pembangunan negara termasuk pembelian vaksin.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Aziz berkata, setakat 31 Disember 2020, KWAN memiliki dana sebanyak RM19.5 bilion merangkumi RM10.4 bilion sumbangan Petronas dan pulangan terkumpul sebanyak RM9.1 bilion.

Menurutnya, ketika ini kerajaan hanya menggunakan sebanyak RM5 bilion daripada jumlah dana KWAN yang terkumpul, di samping itu turut menjelaskan ruang fiskal kerajaan adalah terhad.

Zafrul turut berkata sekiranya kerajaan tidak menggunakan dana KWAN, kadar defisit negara mungkin meningkat kepada 6.2%.

“Selepas 2008, KWAN boleh digunakan bagi membiayai projek pembangunan dalam jadual pertama Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1988 dan pinjaman mudah kepada kerajaan persekutuan.

“Jadi pada tahun 1988 selaras dengan peranggan A (a) seksyen 6 sebenarnya ia pernah digunakan sebelum ini iaitu sebanyak RM42 juta untuk projek Paya Indah Wetland,” katanya pada sidang media hari ini.

Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat memastikan sama ada projek tersebut adalah projek kecemasan atau tidak ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) menggunakan dana tersebut bagi membiayainya.

“Pindaan undang-undang ke atas KWAN pindaan 1988 melalui Ordinan Darurat membolehkan dana KWAN digunakan untuk memperoleh vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung vaksin,” katanya.

Pada 21 April lepas, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana KWAN bagi mendapatkan vaksin dan menggunakannya untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Sidang media hari ini turut menjelaskan pendirian kerajaan berhubung dana itu selain menjawab persoalan sama ada dana tersebut pernah digunakan atau tidak.

Ketua penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini turut menjelaskan bahawa kerajaan pernah menggunakan dana tersebut dan menggesa menteri kewangan mendedahkannya.